fbpx
Permukaan jalan yang tidak rata dan merekah membahayakan pengguna terutamanya penunggang motosikal yang melalui laluan LTU dari Lipis ke Gua Musang.

Tak sampai 10 tahun, Central Spine Road mula rosak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LIPIS – Kualiti jalan Projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) yang turut dikenali sebagai Central Spine Road (CSR) dari Lipis, Pahang ke Gua Musang, Kelantan sejauh 94 kilo­meter (km) dipersoalkan selepas mengalami ba­nyak kerosakan walaupun tidak sampai 10 tahun penggunaannya.

Ia yang mula dibuka pada 2015 merupakan sebahagian daripada projek berimpak tinggi sejauh ­kira-kira 350 km dengan kos hampir RM10 bilion yang menghubungkan Pahang dan Kelantan.

Kemudahan lebuh raya tanpa tol itu menjimatkan masa perjalanan antara kedua-dua negeri berkenaan dijangka siap sepenuhnya pada 2026.

Bagaimanapun, berdasarkan tinjauan Kosmo! di sepanjang laluan dari Lipis ke Gua Musang itu mendapati, jalan berkenaan mengalami ba­nyak kerosakan seperti beralun dan berlubang, selain ada yang seakan merekah.

Kerosakan jalan di laluan yang tidak mempunyai kawasan rehat dan stesen mi­nyak itu dilihat bukan sahaja boleh menyebabkan berlaku kerosakan pada kende­raan, malah turut berdepan risiko kemalangan.

Seorang pengguna, Abdul Razak Abdul Rahim, 48, berkata, dia yang sering menggunakan laluan itu untuk ke Kelantan dari Kuala Lumpur berasa kecewa kerana jalan berkenaan telah mengalami banyak kerosakan.

Katanya, dia perlu berhati-hati ketika memandu memandangkan banyak lubang di jalan itu yang boleh menyebabkan kerosakan pada kereta dan juga risiko berlaku kemalangan.

“Memang banyak lubang dan berbahaya terutama ketika hujan, jadi kena berhati-hati. Laluan itu turut berbahaya kepada mereka yang gemar memandu laju kerana banyak laluan tidak rata.

“Saya harap isu kerosakan jalan ini dapat diambil perhatian segera dan dibaiki. Mungkin siasatan boleh dilakukan bagi me­ngenal pasti sama ada pem­binaan dibuat mengikut stan­dard kualiti ditetapkan,” ujarnya.

Lubang yang banyak pada jalan berisiko menyebabkan berlaku kemalangan.

Semalam, Kosmo! melaporkan, pengasas Ikatan Silaturahim Brotherhood, Azlan Sani Zawawi mempersoalkan tentang kualiti jalan raya di negara ini yang cepat rosak dan tidak tahan lama.

Beliau turut membangkitkan tentang nilai jalan dinikmati rak­yat berbanding kos jutaan ringgit yang dibelanjakan bagi membinanya.

Dalam pada itu, penutupan laluan masuk ke LTU di Kechau Tui di sini bagi pembinaan semula jalan, kerana difahamkan laluan ber­kenaan banyak berlaku kemala­ngan mengecewakan pengguna.

Seorang penduduk tempatan, Nurhafiza Mohamad,38, berkata, dia terkejut laluan itu ditutup untuk pembinaan semula memandangkan ia baru siap.

Katanya, sepatutnya jalan berkenaan tidak mengalami ke­rosakan teruk kerana difahamkan melibatkan kos yang tinggi.

“Ketika mahu ke Kelantan bersama keluarga baru-baru ini, saya terkejut selepas mendapati laluan masuk itu tutup dan dibina semula.

“Tidak sangka sudah rosak teruk, mungkin ada yang terlepas pandang. Bagi saya, pembinaan semula wajar kerana ia projek berimpak tinggi dan perlu mempunyai kualiti yang baik,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN