fbpx

Rawat sisa plastik guna kaedah bioteknologi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Majoriti sisa plastik yang berada di persekitaran akan berakhir dalam sistem rawatan air sisa domestik. – GAMBAR HIASAN

KADAR penggunaan plastik meningkat saban tahun bukan sahaja di negara ini, malah di seluruh dunia.

Data sejak tahun 2008 hingga 2018 menunjukkan bahawa berlaku peningkatan penghasilan plastik daripada 254 juta tan kepada 359 juta tan.

Nilai tersebut dijangka meningkat sebanyak tiga kali ganda menjelang 2050.

Perkara berkenaan amat membimbangkan kerana sifat plastik yang amat stabil dan sukar diurai secara semula jadi di dalam persekitaran.

Melalui kajian saintifik yang dijalankan, plastik memerlukan masa antara 10 tahun hingga 50 tahun untuk diuraikan. Ia bergantung kepada jenis plastik dan rawatan yang dilakukan.

Lebih merunsingkan, kehadiran plastik di dalam persekitaran telah menyumbang kepada pelbagai masalah termasuklah pencemaran sekunder yang lebih berbahaya.

Penguraian sisa plastik secara semula jadi di dalam persekitaran akan menyumbang kepada pembentukan mikroplastik dan nanoplastik berbahaya.

Hal ini kerana mikroplastik dan nanoplastik memiliki saiz lebih kecil dan mudah diserap oleh organisma hidup.

Selain itu, mikroplastik dan nanoplastik merupakan ejen pembawa kepada pelbagai bahan pencemaran lain seperti logam berat dan sisa farmaseutikal.

Bahan pencemaran tersebut boleh menyebabkan penyakit kronik kepada manusia seperti kanser dan sebagainya.

Walaupun pelbagai kempen kesedaran berkenaan sisa plastik telah dijalankan, namun impak pencemaran plastik masih membimbangkan.

Selain penggunaan, pihak berwajib perlu melihat dari aspek rawatan juga.

Ini kerana, majoriti sisa plastik yang berada di persekitaran akan berakhir dalam sistem rawatan air sisa domestik.

Penguraian sisa plastik secara semula jadi di dalam persekitaran akan menyumbang kepada pembentukan mikroplastik dan nanoplastik yang berbahaya. – GAMBAR HIASAN

Sisa plastik yang lama berada di persekitaran terutamanya dalam sistem rawatan air sisa perlulah dirawat segera bagi mengelakkan masalah lebih besar.

Sistem rawatan air sisa domestik di negara ini secara umumnya menggunakan gabungan teknologi berasaskan kimia dan biologi.

Ini membolehkan air sisa di loji rawatan dirawat secara biologi bagi menguraikan sumber organik.

Kaedah ini menggunakan kehadiran konsortium bakteria yang bertindak sebagai pengurai bahan organik semula jadi.

Setelah itu, sisa huraian ini akan dimendapkan sama ada menggunakan pendekatan mekanikal atau secara kimia.

Bahan kimia seperti alum dan PEG akan digunakan bagi menggumpal dan mengental sisa tersebut menjadi pepejal, sebelum diasing serta dilupuskan di tapak pelupusan.

Kaedah ini mempunyai beberapa kekurangan. Antaranya, sisa pepejal yang dihasilkan mengandungi bahan kimia yang boleh memberi impak negatif terhadap alam sekitar.

Selain itu, sisa plastik yang dimendapkan tidak diurai semasa proses rawatan dan menyebabkannya kembali ke alam sekitar.

Berbeza dengan kaedah biologi sepenuhnya, bahan penggumpal dan pengental daripada sumber biologi dilihat mampu memberikan kesan yang sama dengan bahan berasaskan kimia.

Kaedah biologi ini mampu mengasingkan sisa plastik daripada sistem rawatan air.

Selain itu, bahan penggumpal dan pengental biologi adalah selamat kepada persekitaran.

Ini kerana sumber berkenaan dibuat daripada sumber asli seperti tumbuhan, kulat dan bakteria.

Tambahan pula, sisa hiliran daripada proses penggumpalan dan pengentalan ini selamat serta sesuai digunakan dalam proses seterusnya seperti penguraian plastik.

Setakat ini, tiada lagi kaedah dan langkah khusus bagi rawatan plastik dalam sistem rawatan air sisa domestik.

Justeru, pendekatan teknologi berasaskan biologi atau bioteknologi bagi merawat sisa plastik daripada rawatan air domestik merupakan bidang yang memiliki potensi besar untuk diterokai oleh para penyelidik tempatan.

Ini kerana Malaysia kaya dengan sumber asli dan ia sering kali tidak dimanfaatkan dengan sebaiknya.

Negara ini juga memiliki sumber alam yang boleh diteroka oleh penyelidik dalam pembangunan bioteknologi secara umumnya dan rawatan plastik khususnya.

Kajian berkaitan potensi teknologi berasaskan biologi (bioteknologi) dalam merawat sisa plastik melalui sistem rawatan air sisa telah digerakkan di negara-negara maju sejak beberapa tahun lalu.

Ini termasuklah penggunaan biopengental, bakteria, kulat dan juga enzim untuk menguraikan sisa plastik.

Pendekatan bioteknologi ini mendapat perhatian negara-negara maju bagi rawatan plastik kerana kos yang murah berbanding dengan rawatan berasaskan kimia.

Kaedah biologi juga merupakan sumber lestari yang lebih selamat dan mesra alam serta mudah untuk didapati di dalam persekitaran.

Terdapat juga sumber biologi yang terhasil daripada sisa domestik seperti sisa pertanian dan sisa makanan harian.

Kajian berkaitan potensi bioteknologi bagi rawatan plastik turut dijalankan oleh penyelidik tempatan.

Malangnya, usaha penyelidikan tersebut kelihatan hanya separa matang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI