fbpx

Konsert sulung satukan ahli Kumpulan Saujana

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KUMPULAN SAUJANA

KETIKA irama nasyid mengalami fenomena luar biasa sekali gus menguasai industri seni tanah air pada penghujung era 1990-an, muncul sebuah kumpulan dikenali sebagai Saujana yang turut memberi impak terhadap penggemar muzik-muzik dakwah.

Lagu-lagu ketuhanan yang dibawakan Saujana terdengar lebih segar dan mempunyai keistimewaan tersendiri bagi menarik minat pendengar muda.

Antaranya Keluarga Bahagia, Suci Sekeping Hati, Sepohon Kayu, Sendiri, Usia Antara Masa, Bulan Bintang, Rahmat Kasihmu dan Lakaran Minta yang tersemat kemas di hati peminat dengan menonjolkan lagu berentak pop dan R&B.

Sempena meraikan ulang tahun ke-25 penglibatan mereka dalam industri muzik tanah air, Saujana akan muncul dengan persembahan mega berjudul Konsert Saujana 25 Tahun yang akan diadakan di Zepp Kuala Lumpur pada 5 Mac depan.

KONSERT Saujana 25 Tahun akan menampilkan konsep persembahan yang unik menerusi gabungan lagu ketuhanan dengan irama tradisional. – AMIR KHALID

Dibawakan oleh Scriptology Sdn. Bhd. serta Mac Training Centre Sdn. Bhd. selaku produksi rasmi, konsert yang menggunakan Dana Kandungan Digital (DKD) Industri Muzik tersebut mendapat sokongan sepenuhnya daripada My Creative Ventures serta Kementerian Komunikasi Digital.

Idea mewujudkan konsert berkenaan dicetuskan beberapa anggota Saujana iaitu Mohammad Suffian Amrin, Azalinor Abdul Rahman, Ahmad Zuhaidi Abd. Aziz serta Samirah Hambali yang mewakili Mac Training Centre.

Zuhaidi, Azalinor dan Suffian mengambil inisiatif menggabungkan semula kesemua anggota Saujana yang lain iaitu Ahmad Zuhaidi Abdul Aziz, Dr. Khairul Idzwan (Idzu) Baharin, Mohd. Hakimi Harun dan Dr. Faizul Hizal Ghazali, Wan Najran Wan Noh untuk konsert tersebut.

Gabungan unik

Tambah menarik, persembahan mereka turut menampilkan elemen muzik tradisional hasil kolaborasi dengan Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) pimpinan Yazid Zakaria.

“Apabila melihat ramai kawan-kawan dalam arena muzik nasyid membuat konsert melalui dana DKD, kami juga rasa terpanggil untuk melakukannya.

“Lebih-lebih lagi Saujana tidak pernah buat konsert. Sedangkan kumpulan nasyid lain ada yang sudah lebih dari sekali buat konsert. Alhamdulillah, inilah masanya untuk kami gabungkan semula ahli-ahli lama bagi menghargai 25 tahun penglibatan Saujana,” ujar Zuhaidi.

Tambahnya, idea menggabungkan elemen muzik tradisional diilhamkan bagi memberi kesegaran unik dalam persembahan selain menarik minat penggemar muzik nasyid serba tradisional.

“Berpeluang bekerjasama dengan OTM pimpinan Yazid Zakaria adalah satu penghormatan yang besar.

“Malah, kita juga turut berbesar hati apabila dapat mengundang Nazrey Johani bagi terlibat dalam konsert ini bersama artis-artis undangan lain,” katanya.

USTAZ Nazrey Johani menjadi salah seorang artis jemputan yang bakal memeriahkan Konsert Saujana 25 Tahun.

Fakta tentang kumpulan itu, kesemua anggota Saujana merupakan rakan dari sekolah yang sama iaitu Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang.

Bahkan, mereka juga berasal daripada kumpulan nasyid di sekolah mereka iaitu All For Ummah sebelum dikenali sebagai Saujana selepas berpeluang menjadi artis rakaman di bawah syarikat rakaman gergasi, BMG Music Malaysia.

Sayangnya selepas sedekad bersama, pada 16 April 1997, empat anggota mereka iaitu, Idzu, Hakimi, Faizul dan Wan Najran terpaksa meninggalkan kumpulan atas tuntutan kerjaya profesional mereka.

Beberapa lagi anggota lain iaitu Suffian Amrin, Azalinor dan Ahmad Zuhaidi bagaimanapun tetap meneruskan perjuangan Saujana selain turut menubuhkan sebuah lagi kumpulan iaitu Awla yang merupakan gabungan anggota lama bersama ahli NowSeeheart.

Konsert Saujana 25 Tahun turut dibantu rakan rasmi seperti Hotel Sheraton Lumpur, Istana Budaya, Orkestra Tradisional Malaysia (OTM), AnNadi serta Zepp Kuala Lumpur.

Tiket persembahan sudah boleh didapati menerusi laman web di www.ticket2u.com.my dengan harga bermula RM109 hingga RM265.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI