fbpx

Muslim Care Malaysia hantar sumbangan rakyat Malaysia ke Turkiye

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sukarelawan MCM berlepas ke Turkiye bagi menyampaikan sumbangan rakyat Malaysia untuk mangsa gempa bumi.

PETALING JAYA – Dua pemimpin Muslim Care Malaysia (MCM) berlepas Turkiye dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi menghulurkan sumbangan rakyat Malaysia kepada mangsa gempa bumi di negara itu.

Mereka ialah Timbalan Presiden MCM, Mohd. Johari Ismail dan Exco Pendidikan MCM, Ustaz Muhammad Nazmi Abd. Karim yang berlepas pada pukul 11 malam, Selasa lalu serta mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Adana ekoran lapangan terbang Hatay ditutup akibat kerosakan gempa bumi.

Mohd. Johari berkata, destinasi mereka di Turkiye ialah Hatay iaitu satu daripada kawasan yang menerima kesan teruk akibat gempa bumi berukuran 7.8 dan 7.5 skala Richter pada Isnin lalu.

“Jarak di antara Adana dan Hatay kira-kira 200 kilometer dan mengambil masa perjalanan antara tiga hingga empat jam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Hatay ialah wilayah paling selatan Turkiye dan bersempadan dengan Syria di sebelah selatan dan timur, mempunyai populasi kira-kira 1.6 juta orang.

“Menurut satu laporan berita, lebih 50 peratus kawasan kediaman musnah akibat gempa dan satu atau dua orang meninggal dunia daripada setiap keluarga.

“Justeru, antara sumbangan awal yang akan diusahakan ialah makanan, pakaian, ubat-ubatan dan wang tunai kepada mangsa gempa,” ujarnya.

Dalam masa sama, Presiden MCM, Zulkifli Wahijan berkata, sebelum ini Pengerusi MCM Syria, Muhammad Khatib bersama beberapa sukarelawan sudah lebih awal berada di Hatay iaitu pada hari kejadian, Isnin lalu.

“Alhamdulillah, MCM adalah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Malaysia yang paling awal turun ke lapangan untuk menghulurkan bantuan. Insya-Allah Mohd. Johari dan Ustaz Nazmi akan bergabung dengan pasukan diketuai Muhammad Khatib sebaik saja tiba di Hatay,” katanya.

Sementara itu, rakyat Malaysia boleh menghulurkan bantuan untuk mangsa gempa bumi di Turkiye dan Syria melalui akaun bank MCM (5644 9041 3882 Maybank) serta hantarkan slip sumbangan ke Hotline MCM 011-90211159. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI