fbpx

Mangsa gempa hanya mampu menunggu ajal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANGGOTA-ANGGOTA penyelamat mencari mangsa terselamat dan sudah mati di bawah runtuhan sebuah bangunan di Gaziantep kelmarin. -- AFP

GAZIANTEP, Turkiye – Detik semakin berlalu dan Ebru Firat sedar peluang untuk menyelamatkan sepupunya yang tertimbus di bawah timbunan bangunan runtuh di bandar Gaziantep, selatan Turkiye sangat tipis.

Harapan wanita berusia 23 tahun itu akhirnya pudar dan diganti oleh perasaan marah meluap-luap terhadap kerajaan kerana lambat bertindak.

Gempa bumi kuat berukuran 7.8 pada skala Richter menjelang subuh hari itu mengorbankan lebih 7,800 orang di Turkiye dan Syria setakat kelmarin, mencederakan puluhan ribu yang lain, manakala lebih ramai mangsa tiada tempat berlindung daripada kedinginan musim sejuk.

“Saya telah kering air mata,” kata Ebru.

Walaupun setiap detik begitu berharga, tiada pasukan penyelamat tiba sepanjang waktu kritikal 12 jam selepas bencana berlaku sehingga memaksa waris mangsa dan polis tempatan mengalihkan serpihan konkrit dengan tangan kosong, kata beberapa saksi.

Apabila pasukan penyelamat akhirnya tiba petang Isnin lalu, mereka hanya ada beberapa jam sebelum malam tiba.

“Orang ramai memberontak pagi kelmarin. Polis terpaksa campur tangan,” kata penduduk Gaziantep berusia 61 tahun, Celal Deniz. Saudara lelaki dan beberapa anak saudaranya masih terperangkap di bawah runtuhan.

Ketika cuaca begitu sejuk, Celal dan saudara-maranya cuba memanaskan badan dengan duduk di sekeliling unggun api yang dinyalakan di kawasan terbuka, tidak jauh dari bangunan yang musnah.

“Tiada tempat yang tidak dapat dimasuki oleh anggota-anggota penyelamat kami,” kata ketua pertubuhan Bulan Sabit Merah Turkiye, Kerem Kinik dalam satu temu bual televisyen.

Namun, Celal menyangkal kata-kata tersebut.

“Mereka (kerajaan) tidak tahu apa yang dilalui oleh rakyat. Kemana hilangnya wang cukai kami yang dikutip sejak tahun 1999?” soal Celal, merujuk kepada levi dinamakan ‘cukai gempa bumi’.

Cukai itu dilaksanakan selepas gempa bumi kuat memusnahkan kawasan luas di barat laut Turkiye dan mengorbankan seramai 17,400 orang.

Hasil kutipan cukai itu yang kini dianggarkan mencecah AS$4.6 bilion sepatutnya dibelanjakan untuk pencegahan bencana dan pembangunan perkhidmatan kecemasan.

Namun, bagaimana wang itu sebenarnya dibelanjakan tidak diketahui oleh rakyat.
Sekiranya anggota penyelamat tidak mencukupi, sukarelawan-sukarelawan awam berkata, mereka terpaksa melakukan tugas berat itu sendiri.

“Kami pergi ke tempat-tempat bencana untuk membantu orang awam yang sepatutnya diselamatkan oleh Bulan Sabit Merah, tetapi bantuan tidak tiba,” kata Ceren Soylu yang merupakan anggota kumpulan sukarelawan ditubuhkan oleh parti pembangkang berhaluan kanan, Parti Iyi.

Kehadiran Parti Iyi di lokasi bencana menjadi amaran buat Presiden Recep Tayyip Erdogan bahawa peluang beliau mentadbir negara untuk penggal ketiga dalam pilihan raya pada Mei ini berisiko terjejas akibat cara beliau menangani bencana kali ini yang disifatkan antara paling buruk di Turkiye selama berdekad-dekad.

Di wilayah Gaziantep di mana gegaran susulan terus berlaku, penduduknya serba kekurangan. Kedai-kedai ditutup, tiada pemanasan kerana saluran gas dipotong untuk mengelakkan letupan, manakala petrol sangat sukar diperoleh.

Hanya kedai roti masih dibuka dengan orang ramai beratur panjang. Wilayah Gaziantep terletak di selatan Turkiye, manakala ibu negeri wilayah berkenaan adalah bandar Gaziantep.

Kerosakan paling teruk di wilayah Gaziantep berlaku di beberapa daerah paling terpencil di mana beratus-ratus bangunan runtuh.

“Sebahagian jalan raya musnah. Amat sukar untuk membawa masuk bantuan ke kawasan-kawasan ini. Orang awam kekurangan air dan makanan di sana,” kata tukang masak, Gokhan Gungor. Dia secara suka rela mengagihkan makanan kepada mangsa terselamat.

Ramai mangsa terselamat berasa terpinggir ketika mengharungi cuaca sejuk. Ramai antara mereka bergegas keluar tanpa mempunyai masa walaupun untuk memakai kasut apabila gempa berlaku.

Pada tengah hari kelmarin, pasukan penyelamat dan anjing pengesan telah dikerah sekali lagi.

Bagaimanapun, ia sudah terlambat kata seorang wanita yang enggan mendedahkan namanya kerana bimbang tindak balas daripada pegawai kerajaan. Dia memberitahu AFP bahawa ibu saudaranya masih tertimbus di bawah runtuhan.

“Kami kini menunggu kematian orang tercinta,” katanya. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI