fbpx

KLIA, KLIA2 dijenamakan sebagai KLIA Terminal 1, Terminal 2

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). -Foto oleh FAISOL MUSTAFA / KOSMO!

PUTRAJAYA- Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2 bakal dijenamakan semula sebagai KLIA Terminal 1 dan KLIA Terminal 2 bagi mencapai nilai lebih tinggi dalam memasarkan perkhidmatan di lapangan terbang berkenaan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, Kabinet juga turut bersetuju dengan cadangan penjenamaan semula itu di mana ia dilihat bakal memperkukuhkan persaingan dengan lapangan terbang antarabangsa serantau.

“Cadangan untuk menandatangani OA 2023 antara kerajaan dan MAHB serta cadangan penjenamaan semula KLIA dan KLIA2 memainkan peranan penting dalam menentukan kelestarian KLIA selain pertumbuhan di lapangan-lapangan terbang seluruh negara.

“Pelaksanaan itu dijangka dapat membantu meningkatkan daya saing global perkhidmatan pengangkutan udara negara serta memulihkan semula sektor penerbangan demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat berlandaskan gagasan Malaysia Madani,” katanya pada sidang akhbar di Kementerian Pengangkutan di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Anthony berkata, kerangka perjanjian operasi (OA) baharu antara kerajaan dan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) bakal mengubah landskap industri penerbangan negara.

Katanya, ia akan membantu syarikat penerbangan untuk beroperasi dengan lebih efisyen sekali gus mengurangkan bebanan pengguna melalui pengurangan harga tiket.

“Keputusan Kabinet pada 2 Februari lalu bersetuju secara prinsip dengan syarat baharu perjanjian berkenaan memberikan konsesi kepada MAHB untuk mengoperasi, mengurus, menyelenggara dan membangun 39 buah lapangan terbang serta padang terbang sehingga tahun 2069.

“Perjanjian itu bakal dimuktamadkan dan ditandatangani selewat-lewatnya sebelum akhir suku pertama tahun ini,” jelasnya.

Katanya, syarat-syarat baharu di bawah OA 2023 ini membolehkan kerajaan dan MAHB melaksanakan pelan pembangunan komersial lebih berdaya saing dan berpotensi meningkatkan pendapatan kerajaan melalui perkongsian hasil ke atas tanah milik kerajaan yang dibangunkan MAHB.

“Dengan pelaksanaan konsep subsidi bersilang, semua aspek pengurusan dan penyelenggaraan 17 buah STOLports merupakan tanggungjawab sosial kerajaan pada masa ini akan terus dipertanggungjawabkan kepada MAHB sehingga tahun 2069.

“Pelaksanaan OA 2023 ini juga akan membolehkan MAHB merencana perancangan pembangunan jangka panjang lebih baik bagi semua lapangan terbang di bawah seliaannya,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI