fbpx

Kru TSG disahkan selamat di Turkiye

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PARA pelumba dan kru pasukan TSG yang berada di Antalya sedia dibawa pulang ke tanah air selepas Jelajah Antalya dibatalkan susulan kejadian gempa bumi di Turkiye kelmarin.

LIMA pelumba dan kru pasukan Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) di Antalya, Turkiye disahkan selamat dalam kejadian gempa bumi yang melanda negara tersebut kelmarin.

Ketua Pegawai Operasi TSG, Nasiruddin Wan Idrus berkata, pihaknya sedang menguruskan perjalanan pulang pasukannya ke Malaysia setelah Jelajah Antalya yang dijadualkan 9 Februari dibatalkan.

Menurutnya, walaupun berada kira-kira 500 kilometer dari pusat gempa bumi di bandar Gaziantep, pelumba dan kru TSG turut merasai gegaran berukuran 7.8 skala Richter tersebut.

“Jelajah Antalya bertaraf 2.1 Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) sepatutnya berlangsung 9 sehingga 12 Februari telah dibatalkan ekoran bencana alam itu.

“Antara pelumba yang berkampung di Antalya ialah Aiman Cahyadi, Wan Abdul Rahman Hamdan, Mohd. Shahrul Mat Amin, Metkel Eyob dan Anatolii Budiak serta dua orang kru,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di Kuala Terengganu semalam.

Kelmarin, gempa bumi telah menggegarkan Turkiye pada pukul 4.17 pagi waktu tempatan hingga menyebabkan lebih 1,400 terkorban di negara terbabit selain lebih 810 mangsa lagi di Syria.

Nasiruddin berkata, pihaknya berdepan kesukaran membawa pulang pelumba dan kru TSG ekoran kesesakan di lapangan terbang di Turkiye.
Beliau berkata, lapangan terbang negara itu menjadi tumpuan dunia bagi misi bantuan kemanusiaan.

“Lima pelumba dan kru TSG terbabit dijangka pulang dalam masa terdekat dengan tumpuan kini dialih kepada kejohanan Klasik Muscat, Oman pada 10 Februari ini dan Jelajah Oman pada 11 sehingga 15 Februari.

“Bencana alam itu tidak akan menjejaskan semangat pasukan untuk memburu mata dalam ranking UCI dan kedudukan pertama pasukan benua,” katanya.

Nasiruddin menambah, TSG juga akan menyertai Jelajah Rwanda yang berstatus 2.1 UCI pada 19 sehingga 26 Februari disusuli Jelajah Malaysia, 26 Februari sehingga 2 Mac depan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI