fbpx

Penyelidik UniMAP bolot pingat IPITEx 2023 di Bangkok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pasukan penyelidik UniMAP merekodkan kejayaan cemerlang di IPITEx 2023 di Bangkok, Thailand baru-baru ini.

ARAU – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) melakar kejayaan cemerlang apabila berjaya membolot kesemua pingat pada Bangkok International Intellectual Property, Invention, Innovation and Technology Exposition (IPITEx 2023) di Thailand, baru-baru ini.

Pasukan penyelidik UniMAP memperoleh enam emas, 17 perak dan lima gangsa dalam pertandingan inovasi yang diadakan pada 2 hingga 5 Februari lalu di Bangkok International Trade & Exhibition Centre (BITEC).

Naib Canselornya, Prof. Datuk Ts. Dr. Zaliman Sauli berkata, seramai 28 penyelidik UniMAP terdiri daripada pensyarah dan pelajar berjaya meraih 100 peratus pingat di pertandingan tersebut.

“Delegasi UniMAP disertai lebih 70 peratus saintis wanita yang merupakan penyelidik baharu dan ia bagi menyahut saranan kerajaan dalam isu kesamarataan jantina dalam bidang sains di Malaysia.

“Ia menjadi keutamaan kepada UniMAP dan dalam masa sama membuka ruang kerjasama yang lebih besar terutama dengan rakan ASEAN yang lain,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kata Zaliman, dua penyelidik UniMAP, Leong Kean Wei dan Prof. Madya Dr. Norsuria Mahmed turut dinobatkan sebagai penerima anugerah utama iaitu Anugerah Kecemerlangan Penciptaan dan Inovasi Asean serta Anugerah Khas Majlis Penyelidikan Kebangsaan Thailand (NRCT).

Pameran anjuran NRCT yang disertai lebih 25 buah negara itu dirasmikan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Sains, Penyelidikan dan Inovasi Thailand, Prof. Anek Laothamatas.

Antara negara yang menyertai selain tuan rumah dan Malaysia adalah Korea Selatan, Taiwan, Hong Kong, Indonesia, Vietnam, Filipina, Poland, Romania, Arab Saudi, Jepun dan Rusia. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI