fbpx

Kenal pasti masalah kesesakan di hospital – Dr. Zaliha

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dr. Zaliha

PUTRAJAYA – Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa memaklumkan telah mengarahkan para pegawainya untuk mengusahakan beberapa perkara sebagai usaha bagi mengatasi isu kesesakan di hospital.

Arahan tersebut ujar beliau adalah susulan daripada tinjauan bersama para pegawai ke salah satu Jabatan Kecemasan sebuah hospital tidak dinamakan yang sesak di Lembah Klang minggu lalu.

“Setiap Jabatan Kecemasan mempunyai masalah tersendiri dan tinjauan yang dilakukan pegawai saya kali ini berbeza dengan Jabatan Kecemasan yang saya pergi sebelum ini di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang.

“Saya dimaklumkan, petugas barisan hadapan di jabatan ini terpaksa bertungkus-lumus merawat pesakit kerana ada pesakit yang sepatutnya dimasukkan ke wad, masih lagi berada di Jabatan Kecemasan,” katanya menerusi perkongsian di laman media sosial hari ini.

Menurut Dr. Zaliha, kelewatan untuk memasukkan pesakit ke dalam wad akan memberi kesan kepada perkara lain dan sehubungan itu, beliau telah mengarahkan beberapa perkara dilaksanakan bagi mengatasinya.

“Kenal pasti masalah kesesakan termasuk perkara melibatkan mental dan fizikal yang dihadapi petugas kesihatan juga pesakit serta mengadakan perbincangan secara mendalam antaranya berkaitan petugas kesihatan.

“Lebih banyak katil juga akan disediakan termasuk memantapkan sistem pentadbiran di hospital-hospital,” katanya.

Jelas Dr. Zaliha, kebanyakan isu yang ada di Jabatan Kecemasan adalah melibatkan isu-isu yang diwarisi dan sistemik namun ada antara isu tersebut boleh diselesaikan dengan mengadakan pertemuan bersama pihak berkaitan.

“Ramai petugas barisan hadapan bekerja melebihi masa semasa pandemik dan perkara itu berlanjutan apabila kita berdepan pula dengan lonjakan kes Penyakit Tidak Berjangkit pasca pandemik.

“Kami akan terus mendengar dan mencari penyelesaian terhadap isu-isu yang dibangkitkan secara dalaman serta melakukan libat urus bersama Kementerian Kewangan demi petugas barisan hadapan dan rakyat Malaysia,” katanya. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI