fbpx

Dua suspek campak botol ke bawah pangsapuri ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dua suspek utama ditahan reman sehingga Selasa ini.

KUALA LUMPUR – Dua lelaki tempatan berusia 21 dan 24 tahun ditahan reman susulan terbabit dalam insiden mencampak botol kaca ke arah lebuh raya dari sebuah pangsapuri di Jalan Cendana, Kampung Baru, di sini, beberapa hari lalu.

Sebelumnya, polis telah menahan tujuh individu dalam dua tangkapan berasingan bagi membantu siasatan berkait video tular yang dimuat naik oleh pengguna Tiktok @syrupboy.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, tangkapan pertama terhadap lima individu dibuat antara 3.45 petang hingga 9.15 malam semalam.

Katanya, lima individu yang ditahan terdiri daripada tiga lelaki berusia 21 hingga 24 tahun dan dua wanita, masing-masing berusia 23 tahun bagi membantu siasatan.

“Tangkapan kedua pula dilakukan antara 1.30 pagi hingga 2.15 pagi tadi terhadap seorang lelaki berusia 20 tahun dan seorang wanita berusia 31 tahun.

“Kedua-dua tangkapan berkenaan dilakukan di sekitar daerah Dang Wangi dan kita turut merampas sebuah telefon bimbit dan sepasang pakaian, ” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Noor Dellhan, berdasarkan hasil saringan ujian air kencing dilakukan terhadap semua individu yang ditahan, hanya seorang sahaja didapati positif dadah jenis ketamin.

“Salah seorang individu yang positif dadah ketamin adalah suspek utama dalam kes ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dua daripada tujuh individu yang ditahan itu direman selama tiga hari bermula hari ini sehingga Selasa.

“Permohonan reman bagi lima individu yang lain telah ditolak,” ujarnya.

Jelasnya, kes disiasat mengikut Seksyen 268/336 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

Terdahulu Kosmo! melaporkan satu rakaman video berdurasi satu minit 43 saat dimuat naik oleh pemilik akaun TikTok @syrupboy, memaparkan kejadian seorang lelaki membaling botol ke arah lebuh raya.

Sehubungan itu, tindakan lelaki terbabit yang sengaja membaling botol kaca dari tingkat atas sebuah pangsapuri telah mengundang kemarahan orang ramai. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI