PETALING JAYA – Suhu kontroversi rumah tangga pasangan selebriti Aliff Aziz dan Bella Astillah memasuki episod baharu apabila watak orang ketiga yang didakwa cuba mengganggu keharmonian perkahwinan mereka iaitu Sophia Albarakbah membuka mulut berharap isu tersebut hilang dengan sendirinya.
Sophia atau nama sebenarnya, 30, berkata, dia tidak mahu memberikan komen lanjut berhubung perihal terbabit kerana enggan mengeruhkan lagi keadaan.
“Saya tahu sekarang topik ini tengah panas. Saya faham kalian semua (wartawan dan media) sekadar buat kerja.
“Tapi sejujurnya, it’s something that I don’t like (sesuatu yang saya tak suka). Saya tak nak beri kenyataan sebab nanti lagi teruk keadaan.
“Jadi, saya berharap agar media akan biar benda ini hilang sendiri,” katanya dalam satu perbualan mesej bersama kenalan industri.
Buat masa ini, aktres filem Miimaland itu seboleh-bolehnya tidak mahu menjadi punca pergaduhan kepada mana-mana pihak terlibat, khususnnya Bella dan Aliff.
“Bayangkan, pihak sana buat kenyataan, lepas itu, saya keluar kenyataan lagi.
“Nanti akan jadi pergaduhan. Lepas itu, netizen akan pilih pihak ini dan itu, sekali gus akan sebabkan perbalahan antara semua. Bukan sesuatu yang bagus, bukan?.
“Saya tak nak orang terus bercakap tentang isu ini, tolonglah. Sebab sekarang, saya tengah jalani penggambaran drama dan kita nak fokus dan buat yang terbaik.
“Biar sahaja isu ini senyap sendiri. Benda boleh diselesaikan antara pihak terlibat dengan baik. Tak nak libatkan satu Malaysia,” katanya.
Hasil tinjauan Kosmo!, perbualan yang turut dikongsikan Bella dalam Instagram semalam telahpun dipadamkan.
Peserta program nyanyian, Famili Duo itu berkata, pendedahan tersebut terpaksa dilakukan selepas terdapat pihak yang mendakwa isu tersebut sengaja direka-reka sehingga mencetuskan fitnah terhadap Sophia dan suaminya.
Terdahulu, Aliff, 32, dalam satu sidang media mengesahkan aktres yang dimaksudkan isterinya itu sememangnya Sophia memandangkan hanya pelakon wanita itu heroin drama lakonan mereka, Ku Akad Kau Dengan Bismillah ketika ini.
Sophia bagaimanapun tidak muncul pada sidang akhbar promosi naskhah arahan Osman Ali itu dengan alasan terikat dengan urusan kerja iaitu sibuk di lokasi penggambaran drama, Ku Akad Kau Dengan Bismillah.
Isnin lalu, Bella mendedahkan seorang heroin sebuah drama mengakui jatuh suka terhadap Aliff selepas mereka bergandingan dalam sebuah naskhah. – KOSMO! ONLINE








