fbpx

Pesakit strok harap belas ihsan ibu bapa, jiran tampung hidup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHD. FUAD (tengah) bimbang nasib tujuh anak yang masih bersekolah dan kecil setelah diserang strok November lalu ketika ditemui di Felda Jelai 3, Tampin baru-baru ini.

TAMPIN – Seorang bapa kepada tujuh anak terpaksa mengharap bantuan orang tuanya dan jiran-jiran dalam menyediakan keper­luan keluarga sejak dua bulan lalu selepas diserang strok.

Mohd. Fuad Abd. Malek, 40, berkata, dia yang melakukan kerja-kerja kampung bagi me­nyara isteri dan tujuh anak berusia antara empat bulan hingga 19 tahun kehilangan pendapatan sebanyak RM1,500 sebulan.

“Syukur apabila anak-anak menerima Bantuan Awal Persekolahan, sedikit sebanyak membantu dari segi kelengkapan persekolahan dan duit belanja. Namun, hati ini masih risau dan bimbang dengan nasib mereka yang masih kecil.

“Sudah lebih dua bulan saya tidak bekerja dan hanya mengharapkan bantuan ibu bapa, ­keluarga serta penduduk setempat,” katanya baru-baru ini.

Bercerita lanjut, Mohd. Fuad berkata, mimpi ngerinya bermula pada 17 November tahun lalu apabila dia mendapati badannya agak lemah serta sukar digerakkan kira-kira pukul 2 pagi.

Menurutnya, anggapan diri penat meleset apabila sehingga pukul 6 pagi badannya masih lemah sebelum mendapatkan bantuan isterinya, NorHasmiza Azemi, 40.

“Saya ditahan bagi rawatan lanjut selama beberapa hari. Kini, dijaga sepenuhnya oleh ibu bapa memandangkan saya tidak boleh mendengar bunyi bising.

“Isteri dan anak-anak pula tinggal di rumah sewa kami tidak jauh dari rumah ini. Mereka akan datang setiap hari selama dua ke tiga jam,” katanya.

Menurutnya, dia berharap segera pulih dan dapat bekerja bagi menyara anak-anak dengan lima daripadanya bersekolah.

Ibu Mohd. Fuad, Faridah Manap, 60, berkata, anaknya sangat aktif dan rajin mencari rezeki buat keluarga, namun tiba-tiba terlantar dan perlu memakai lampin pakai buang.

“Bagi memastikan Mohd. Fuad cepat sihat, saya dan suami sanggup menjaganya sepenuh masa.Anak-anaknya masih kecil dan ada kalanya bahagian yang masih lumpuh dihimpit anak yang mahu bermanja,” ujarnya.

Bagi mereka yang ingin meng­hulurkan sumbangan boleh menyalurkan ke akaun Maybank 1623-4857-1369 atas nama NorHasmiza Azemi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI