fbpx

Jika dijanjikan ‘harum’, Nadin mahu kembali

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NADIN AMIZAH

EMOSI larut bersama muzik. Sepertinya itu cukup untuk menggambarkan impak persembahan Nadin Amizah pada konsert Selamat Ulang Tahun Dan Kisah Lainnya yang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur (KL) baru-baru ini.

Kemunculannya di atas pentas tepat jam lapan malam disambut dengan sorakan yang menggemakan lokasi acara tersebut. Tidak membiarkan peminat berlama-lama menanti nyanyiannya, Nadin memulakan babak pertama acara menerusi lagu Sebuah Tarian Yang Tak Kunjung Selesai, Seperti Takdir Kita Yang Tulis dan Hormat Kepada Angin.

Dua lagu tersebut dipetik daripada album mini Kalah Bertaruh yang diterbitkan sekitar Mei 2021. Baru sahaja tiga buah lagu diperdengarkan, emosi penonton sudah mula terjerat dan hanyut dibawa oleh nyanyian gemersiknya.

Awalnya Nadin mengakui agak gemuruh sebelum memulakan persembahan, ditambah pula konsert tersebut merupakan detik pertama dia menghiburkan peminat di sini.

“Rasa gembira berada di sini bersama anda semua yang sudah lama menanti kehadiran saya.

“Ini pertama kali saya berada di Malaysia dan semoga semua yang dipersembahkan akan menyenangkan hati anda yang hadir,” tuturnya.

PENYANYI bertubuh kecil molek ini menyampaikan sebanyak 18 lagu dengan membahagikan persembahan kepada dua segmen.

Kesakitan

Babak pertama ditutup dengan tiga buah lagu iaitu Menangis di Jalan Pulang, Dan Selesai dan Rumpang Seperti Tulang.

Boleh disimpulkan, babak pertama merupakan fasa Nadin berkongsi emosi dengan membawa penonton bersama mengimbau kisah lampau, termasuk perjuangan untuk bertahan dan kesakitan dalam melepaskan sebuah rasa yang terpendam.

Hampir lima belas minit menunggu, tirai pentas seterusnya dibuka semula sebagai tanda bermulanya babak kedua berkonsepkan teatrikal yang mempersembahkan perjalanan dan meraikan hidupnya sejak lahir sehingga bergelar pelaku seni hari ini.

Melangkah ke pentas dengan tarian lincah, Nadin sekali lagi membuktikan dia merupakan pelapis yang mampu diangkat menjadi seorang penghibur satu hari nanti.
Semua lagu yang dipersembahkan pada babak tersebut dipetik daripada album perdananya, Selamat Ulang Tahun terbitan 2020.

Menerusi segmen pertama, Nadin bijak berinteraksi dengan peminat, manakala menerusi segmen kedua, dia lebih fokus memastikan persembahannya berlangsung penuh harmoni.

Ibu

Memulakan nyanyian dengan lagu Kanyaah, sebuah tanda penghargaan pengorbanan ibunya yang setia menemani pada detik suka mahupun duka.

Lebih manis, ibunya, Intan Gurnita turut berada di pentas memeluknya erat, sekali gus mengundang rasa sebak dalam kalangan penonton.

Seterusnya, Nadin muncul dengan lagu-lagu popular miliknya iaitu Beranjak Dewasa, Bertaut dan Sorai yang turut dinyanyi bersama para penonton.

Penceritaannya menerusi babak kedua yang disampaikan hampir satu jam itu ternyata berjaya dilakukan dengan cemerlang.

Berbeza daripada konsert lain, penamat konsert diakhiri dengan ‘penerbangan’ ratusan kapal terbang kertas memenuhi ruang acara sebagai simbolik menerbangkan impian yang masih belum terlunas.

Mampu bercerita menerusi lagu, itu salah satu kelebihan yang dimiliki oleh penyanyi bertubuh genit berusia 23 tahun itu.

NYANYIAN Nadin menerima tepukan bergemuruh daripada peminat, malah ada juga turut menyanyi bersama sepanjang konsert.

Perancangan

Ketika disoal tentang perancangannya untuk melebarkan sayap seni di Malaysia dengan menyertai program realiti terkenal, Big Stage di Malaysia misalnya, Nadin tidak berfikir panjang untuk menyatakan keengganannya melibatkan diri dalam program seumpama itu.

Ujarnya, pertandingan nyanyian seumpama itu dilihat kurang sesuai dengan dirinya, selain mengambil kira pengalaman yang pernah dilaluinya ketika menyertai sebuah program nyanyian di Indonesia suatu ketika dahulu.

“Tidak. Saya tidak terfikir untuk menyertai mana-mana program realiti selepas ini. Berdasarkan pengalaman sebelum ini, saya melihat terlalu banyak peraturan yang perlu diikuti.

“Selain itu, saya juga merasa tiada keperluan utuk saya menyertai program sebegitu pada masa sekarang,” jelasnya.

NADIN AMIZAH mengotakan janji apabila berjaya menghiburkan lebih 2,000 peminat yang menyaksikan persembahannya di Zepp Kuala Lumpur baru-baru ini. – AFIQ RAZALI

Tambah Nadin lagi, dia tidak gusar sekiranya dikatakan rugi kerana menolak peluang menyertai Big Stage yang akan memperkenalkan namanya di Malaysia.

“Insya-Allah kalau Tuhan menjanjikan namaku harum di Malaysia, pasti saya akan kembali dalam acara lain,” jelasnya.

Menganggap konsert sulungnya di Malaysia sebagai suatu perkara yang tidak disangka-sangka, Nadin rasa bersyukur kerana masih mempunyai sekelompok peminat kecil di sini walaupun namanya tidak semekar penyanyi seberang yang lain.

“Saya tidak pernah terfikir untuk datang ke Malaysia dan mengadakan konsert di sini. Tapi alhamdulillah, ada rezeki saya.

“Lagi pula Indonesia dan Malaysia berkongsi budaya dan bahasa serumpun.

“Jadi masyarakat tidak mempunyai masalah untuk faham lagu yang saya nyanyikan. Kalau tidak, mungkin susah juga,” katanya sambil tersenyum.

NADIN menganggap konsert sulungnya di Malaysia umpama sebuah mimpi menjadi
kenyataan.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI