fbpx

Dua budak melecur teruk, paip jiran berisi asid pecah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan kanak-kanak yang menjadi mangsa paip pecah berisi asid di sebuah pangsapuri di Seri Kembangan, kelmarin.

SERDANG – Dua beradik melecur pada badan dan paha apabila paip berisi serbuk asid soda di dalam singki pecah di kediamannya di sebuah pangsapuri, Seri Kembangan, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Serdang, A. A. Anbalagan berkata, pihaknya menerima laporan kejadian tersebut daripada ibu mangsa sekitar pukul 5.21 petang, semalam.

Katanya, dia mendengar bunyi letupan dan jeritan anak lelakinya dari dapur kediaman mereka di tingkat dua pangsapuri tersebut sekitar pukul 7.30 petang, kelmarin.

“Pengadu bersama suaminya bergegas ke dapur dan mendapati kedua-dua anaknya terkena cecair dipercayai asid serbuk soda yang berpunca daripada saluran paip singki dipercayai milik jiran di bahagian atas rumahnya.

“Pemilik rumah di atas yang juga seorang lelaki tempatan dipercayai telah menggunakan serbuk soda tersebut dengan memasukkannya ke dalam saluran paip singki rumahnya bertujuan membersihkan saluran paip yang tersumbat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mendapati anaknya yang dalam kesakitan, pengadu telah membawa kedua-dua mereka ke Hospital Serdang dan kini seorang daripadanya mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Kuala Lumpur.

Menurut Anbalagan, siasatan awal yang dijalankan pihaknya setakat ini adalah merakamkan percakapan ibu mangsa.

“Dalam pada itu, pemilik rumah tingkat dua tersebut turut dirakamkan percakapan dan mengakui ada menggunakan serbuk soda jenama Kuda Api.

“Serbuk tersebut dibelinya secara dalam talian berharga sekitar RM50 bertujuan untuk membersihkan saluran paip singki rumahnya yang tersumbat,” katanya.

Kejadian tersebut menyebabkan seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun melecur tahap tiga di bahagian dahi, kepala, bahu, badan, lengan dan paha, namun kini dalam keadaan stabil.

Sementara itu, seorang kanak-kanak perempuan berusia 7 tahun juga turut melecur di bahagian paha kanan, namun keadaannya juga sudah stabil dan telah pulang ke rumah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan Seksyen 7 Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958. Siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI