fbpx

Mahkamah: Pemilik syarikat elektronik didakwa lagi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Raymond selepas prosiding pertuduhan di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini. FOTO SHIDDIEQIIN ZON

SHAH ALAM – Seorang pemilik syarikat elektrik dan elektronik didakwa lagi di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi menuntut insentif Program Penjana Kerjaya 2.0 dan 3.0 berjumlah RM87,500, dua tahun lalu.

Tertuduh, Raymond Sim, 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas lima pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Bapa kepada seorang anak didakwa mengemukakan tuntutan palsu bagi menuntut insentif bagi dua siri Program Penjana Kerjaya berjumlah keseluruhan RM87,500 kepada tiga pegawai perkhidmatan pekerjaan Perkeso bagi nama pekerja baharu sedangkan senarai pekerja yang dinamakan dalam dokumen tersebut bukan pekerja Minbot Sdn. Bhd. miliknya.

Kesalahan itu dilakukan di dua cawangan pejabat Perkeso iaitu di Petaling Jaya dan Klang antara 9 Mac hingga 11 November 2021.

Justeru, dia didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta yang sama.

Sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima ganda nilai butir matan palsu atau RM10,000, mana lebih tinggi.

Pegawai Pendakwa SPRM, Mohd. Alif Shaharuzaman menawarkan jaminan RM50,000 bersama seorang penjamin dengan syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan lapor diri di pejabat SPRM berhampiran.

Selain itu, Mohd. Alif turut memohon supaya kes dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk dibicarakan bersama empat pertuduhan dihadapi di mahkamah tersebut.

Peguam Reuben Ong mewakili tertuduh memohon jaminan rendah sebanyak RM7,000 susulan anak guamnya perlu menanggung kos operasi anaknya berusia tujuh bulan yang tidak sihat.

“Gaji anak guam saya berjumlah RM5,700 manakala kos perubatan anak adalah RM4,900 dengan memerlukan penjagaan rapi.

“Anak guam juga sebelum ini telah dijamin sebanyak RM30,000 bagi pertuduhan dihadapi di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 26 Januari lalu,” katanya.

Mahkamah menetapkan jaminan RM10,000 bersama penjamin dan membenarkan permohonan pihak pendakwaan termasuk pemindahan kes tersebut.

Sebutan semula ditetapkan pada 28 Februari depan.

Kosmo! sebelum ini melaporkan Raymond mengaku tidak bersalah atas tujuh pertuduhan memberikan borang pengesahan melalui seorang wanita kepada pegawai Perkeso bagi menuntut insentif berjumlah RM153,200 di hadapan Hakim Suzana Hussin di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI