MESKIPUN bersifat sunat, umrah merupakan salah satu ibadah yang sering ditunaikan oleh umat Islam di negara ini.
Menjadi tetamu Allah SWT ke Tanah Suci untuk mengerjakan ibadah umrah merupakan peluang yang amat bernilai.
Maka tidak hairanlah, ramai antara kita sanggup mengumpul wang bagi membolehkan ibadah itu ditunaikan.
Malah, setelah pandemik Covid-19 reda dan kebenaran menunaikan umrah dibenarkan, permintaan terhadap pakej-pakej umrah semakin bertambah.
Bagi membincangkan perihal tentang ibadah umrah, wartawan Kosmo! Ahad, FARID AHMAD TARMIJI berkesempatan menemu bual Pengerusi Eksekutif Andalusia Travel & Tour Sdn. Bhd., Datuk Md. Daud Che Ngah baru-baru ini.
KOSMO!AHAD: Selepas pandemik Covid-19 reda, kita dapati permintaan terhadap pakej umrah meningkat mendadak. Boleh Datuk ulas sejauh manakah peningkatan itu, adakah ia melebihi jumlah sebelum Covid-19?
DATUK MD. DAUD: Kita memahami bahawa musibah yang Allah SWT duga kepada kita melalui pandemik Covid-19 selama lebih dua tahun telah menyebabkan aktiviti mengerjakan umrah tertangguh sepanjang tempoh tersebut.
Sebenarnya, setiap tahun kami menguruskan sekitar 60,000 hingga 70,000 jemaah sebelum pandemik.
Purata bulanan pelanggan yang mengikuti ibadah umrah bersama kami adalah sebanyak 6,000 hingga 7,000 orang.
Setelah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, banyak pelanggan yang tidak dapat pergi, walaupun telah membayar wang deposit kepada kami.
Pada masa sama, ada ramai pelanggan-pelanggan baharu yang mendaftar, walaupun negara masih berhadapan dengan wabak tersebut.
Keadaan ini menyebabkan bilangan jemaah semakin bertambah dengan harapan bahawa pandemik Covid-19 berakhir dan mereka boleh menunaikan umrah secepat mungkin.
Selepas pintu sempadan dibuka dan umrah dibenarkan, kami juga menerima pelanggan baharu sehingga menyebabkan jumlah jemaah terus bertambah.
Sekarang ini, setelah pandemik berakhir, jumlah pelanggan yang berdaftar dengan kami untuk menunaikan umrah bertambah satu kali ganda berbanding sebelum Covid-19.
Malah, perjalanan pelanggan yang tergendala sebelum ini akibat Covid-19 juga telah kami selesaikan.
Bulan Ramadan kian menjelang dan bulan mulia ini lazimnya turut mengundang ramai tetamu Allah SWT ke Baitullah. Bagaimana permintaan pakej umrah pada bulan Ramadan setakat ini?
Permintaan pakej umrah untuk Ramadan amat baik dan setiap tahun kami menerima sekitar 3,500 hingga 4,000 pelanggan yang akan pergi menunaikan ibadah tersebut.
Ada beberapa faktor yang mendorong pelanggan memilih untuk menunaikan umrah ketika Ramadan berbanding bulan-bulan lain.
Pertama, jika mereka perlu menunggu untuk menunaikan haji, mungkin akan mengambil masa lama. Ini kerana kuota bagi menunaikan rukun Islam kelima itu terhad.
Bagaimanapun, jika umrah ditunaikan ketika Ramadan, pahalanya sama seperti melakukan ibadah haji. Ia ada disebut dalam hadis.
Selain itu, amal ibadah yang ditunaikan ketika Ramadan akan mendapat pahala berlipat kali ganda daripada Allah SWT.
Terbaharu, syarikat penyedia pakej umrah di negara ini menjangkakan harga hotel, visa dan tiket penerbangan meningkat sehingga 50 peratus. Apakah faktor-faktor yang mendorong kepada peningkatan harga ini?
Peningkatan dari sudut harga ini memerlukan kita memahami tentang keadaan semasa di Arab Saudi.
Selama dua tahun, hotel di sana tidak menerima jemaah kerana pandemik Covid-19. Ini menyebabkan pengusaha hotel di sana tidak mempunyai pendapatan.
Sedangkan ejen yang memajak hotel itu perlu beroperasi meskipun tiada pelanggan. Ini mendorong kepada peningkatan harga.
Sementara itu, setelah umrah dibenarkan kembali, saya dapati hampir satu kali ganda jemaah pergi ke sana dan kami juga perlu mencari kapal terbang untuk menghantar pelanggan ke sana.
Dari sudut perjalanan pula, harga tiket penerbangan meningkat kerana pesawat yang ingin terbang semula selepas tersadai akibat Covid-19 memerlukan penyelenggaraan.
Ini semua melibatkan kos sehingga mendorong kenaikan harga tiket perjalanan.
Disebabkan penawaran pesawat sedikit sedangkan permintaan pelanggan tinggi, maka harga pasti akan naik.
Untuk makluman, kebanyakan jemaah yang telah membuat tempahan tidak akan mengundurkan diri biarpun selepas harga dinaikkan.
Mereka tetap ingin pergi ke sana dan sanggup membayar kos tambahan tersebut.
Kebanyakan mereka berpendapat, jika ibadah umrah ditangguhkan ketika ini, harganya pasti akan lebih mahal pada masa akan datang.
Malah, kami sendiri sudah menjangka perkara ini akan berlaku setelah sempadan dibuka.
Justeru, kami mengambil langkah awal dengan memaklumkan kepada pelanggan bahawa akan berlaku kenaikan antara RM250 hingga RM450 pada pakej kami.
Setelah berbuat demikian, ramai pelanggan yang marah kepada kami kerana ada syarikat lain boleh menawarkan harga lebih murah dan tidak naik harga mereka.
Akhirnya, syarikat-syarikat lain turut menaikkan harga pakej umrah mereka. Malah, ada syarikat lain yang naik sehingga 50 peratus sedangkan kenaikan kami tidak setinggi itu.
Kos tambahan ini tidak dapat dielakkan. Oleh itu, kami sudah mengenakan siap-siap penambahan harga tersebut di dalam pakej.
Kami juga tidak mahu minta wang tambahan ketika jemaah berada di Mekah kerana tindakan itu bukan sesuatu yang baik.
Apakah usaha yang boleh dilakukan oleh pihak penyedia pakej umrah bagi membantu mengurangkan beban bakal jemaah? Bolehkan pihak penyedia pakej melakukan negosiasi harga dengan hotel-hotel di sana?
Dalam keadaan sekarang tidak ada jalan untuk menurunkan harga pakej.
Dari sudut penerbangan, syarikat pengendali susah untuk menerbangkan pesawat mereka.
Ini kerana mereka perlu menampung kos penyelenggaraan selepas dua tahun pesawat tidak terbang. Selain itu, segala perbelanjaan yang berlaku di Mekah (Arab Saudi) telah meningkat.
Malah, di Arab Saudi ada satu peraturan di mana mereka yang mendapat taraf penduduk tetap atau kebenaran bekerja di sana yang mempunyai empat ahli keluarga perlu membayar levi pada setiap bulan kepada kerajaan di sana.
Ini menyebabkan banyak pekerja yang biasa menguruskan hal tentang haji dan umrah Malaysia di sana lari balik ke tanah air.
Jadi, kami terpaksa menggunakan khidmat penduduk tempatan di sana.
Tetapi, harga yang dikenakan oleh mereka amat tinggi.
Selain itu, agak sukar untuk kurangkan harga penginapan di sana. Apa yang kami boleh lakukan adalah dengan meminta satu harga tetap daripada pemilik hotel di sana.
Penasihat undang-undang kami juga telah pergi ke sana untuk membuat satu perjanjian dengan beberapa pihak dalam usaha mengekalkan harga.

Ramai tidak sedar bahawa berlaku kes jemaah umrah yang tersesat di Tanah Suci selepas terpisah dengan kumpulan rombongan. Selalunya, kes ini membabitkan warga emas. Apakah usaha yang boleh dilakukan bagi mengatasi masalah ini?
Kami di Andalusia memiliki mutawif yang telah dimuktamarkan dengan maklumat supaya tidak kehilangan jemaah yang dibawa.
Jika berlaku kes kehilangan jemaah, mutawif ini akan bermatian-matian mencari sehingga jumpa. Jadi, jarang berlaku kes kehilangan yang terlalu lama.
Namun begitu, ada sesetengah pengendali yang mana mutawifnya percaya kepada jemaah yang pernah menunaikan umrah sebelum ini.
Disebabkan itu, mutawif berkenaan membiarkan jemaah bersendirian membuat umrah kali kedua dan ketiga.
Ini yang menyebabkan ada jemaah terutamanya warga emas hilang.
Kami selalunya akan mengarahkan jemaah memakai tanda nama terutamanya apabila ingin keluar dari hotel.
Pada tanda nama tersebut terdapat segala maklumat seperti nombor telefon petugas dan nama hotel. Ia bagi memudahkan jemaah jika tersesat.
Selain umrah, kos haji pada tahun ini juga dijangka meningkat. Disebabkan itu, ada pihak yang menyarankan supaya tempoh haji dikurangkan daripada 40 hari. Bagaimanakah pandangan Datuk mengenai perkara ini?
Berdasarkan pengalaman berkhidmat dengan pihak Tabung Haji selama 25 tahun, saya merasakan agak sukar untuk mengurangkan jumlah hari itu.
Selagi penerbangan Malaysia Airlines dan Saudia Airlines hanya boleh terbang tiga kali sehari agak sukar untuk mengurangkan jumlah 40 hari itu.
Jika kita ingin mengurangkan jumlah hari tersebut penerbangan harus ditambah. Ini akan meningkatkan kos haji.
Bagi mengurangkan tempoh tersebut untuk mengecilkan perbelanjaan amat sukar.
Oleh demikian, apa yang Tabung Haji boleh lakukan adalah memberi subsidi kepada jemaah.
Terbaharu, kuota haji negara telah dikembalikan seperti sebelum Covid-19. Pada pandangan Datuk adakah kuota sedia ada sudah mencukupi atau perlu ditambah lagi?
Kuota sedia ada ini tidak mencukupi dan perlu ditambah terutamanya selepas berakhirnya Covid-19 ini.
Ini kerana kebanyakan jemaah yang mengerjakan haji pada tahun lalu sepatutnya menunaikannya pada tahun 2021. Tetapi tidak dapat berbuat demikian kerana pandemik.
Begitu juga dengan kuota pada tahun ini, sebahagian jemaah yang sepatutnya pergi pada 2022 akan turut serta .
Kita boleh merayu supaya dapat penambahan kuota sekurang-kurangnya 10,000 lagi jemaah pada masa akan datang.
Sebenarnya, dasar penentuan kuota ini telah ditentukan lama melalui Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
Negara-negara yang mempunyai ramai umat Islam ini diberikan kuota haji berdasarkan 0.1 peratus daripada jumlah penduduknya.














