fbpx
MENTUA perlu lebih bertanggungjawab dan percaya dengan kemampuan anak serta menantu untuk menguruskan rumah tangga mereka sendiri. – GAMBAR HIASAN

Ibu mentua tak suka menantu punca bercerai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Kebahagian yang diimpikan bagi pasangan berumah tangga sering kali tersekat di tengah jalan hanya kerana campur tangan daripada pihak lain terutama melibatkan ahli keluarga sendiri.

Malah, lebih 50 peratus kes perceraian yang dilaporkan dalam kalangan pasangan yang baharu berkahwin adalah berpunca daripada hubungan dingin antara menantu dan ibu mentua.

Peguam Syarie, Nur Amalina Adam berkata, faktor itu juga menjadi alasan paling popular bagi pasangan berkahwin ketika ingin memohon perceraian ekoran masalah yang timbul dengan mentua sama ada di pihak suami ataupun isteri.

Katanya, faktor-faktor lain yang turut dikaitkan dengan perceraian adalah berpunca daripada masalah kewangan, tekanan hidup, orang ketiga dan tiada persefahaman antara pasangan.

“Mengikut rekod, pasangan yang paling banyak buat permohonan cerai adalah disebabkan masalah dengan mentua dan mereka ini berusia antara 20 hingga 35 tahun.

“Untuk tahun 2022 sahaja, kami menerima sebanyak 65 kes secara keseluruhan.

“Daripada anggaran kes yang diterima, ia menunjukkan kadar cerai membabitkan mentua telah meningkat kira-kira 40 hingga 50 peratus setiap tahun menjadikan ia sebagai alasan untuk kepada perceraian,” katanya kepada Kos­mo! Ahad baru-baru ini.

Menurut Nur Amalina, antara punca yang dilaporkan adalah disebabkan campur tangan adik-beradik atau ipar-duai yang menghasut mentua, bukan menantu pilihan atau tidak disena­ngi mentua kerana tidak bekerja.

“Biasanya mereka yang datang buat aduan disaran untuk dapatkan kaunseling terlebih dahulu. Ada yang berdamai selepas kaunseling, tetapi masih tidak berubah sehingga mereka menfailkan kes di mahkamah.

“Kira-kira 15 peratus saja yang berbaik selepas sesi kaunseling kerana mereka yang datang akan seboleh-bolehnya mahu bercerai. Masalahnya, yang berbaik pun hanya bertahan dua atau tiga bulan dan selepas itu, perceraian tetap berlaku,” kongsinya.

Dalam masa sama, Nur Amalina turut menyarankan kepada ibu bapa yang sedang atau bakal menerima menantu supaya menjalankan tanggungjawab sebaik­nya.

“Beri nasihat dan teguran de­ngan berhemah tanpa sebarang ugutan. Awasi bahasa atau gaya percakapan yang dituturkan seharian walaupun sewaktu ketia­daan anak-anak dan menantu. Kasihanilah mereka, sayangilah mereka.

“Tidak menjadi kesalahan bagi ibu bapa menjaga kebajikan anak-anak mereka walaupun telah berkahwin, sama ada anak lelaki mahupun perempuan.

“Namun, biarkan anak dan menantu uruskan rumah tangga mengikut cara serta kemampuan mereka sendiri dan biar mereka tentukan hala tuju rumah tangga yang mereka inginkan.

“Ibu bapa dan ahli keluarga boleh pantau dari jauh, doakan yang terbaik buat anak menantu dan jangan cuba rampas kebahagiaan mereka,” jelasnya lagi.

Kepada suami isteri pula katanya, mereka perlu bersikap matang dan saling bertolak ansur dan yakin bahawa pasangan mereka adalah yang terbaik.

“Mereka juga perlu buktikan kepada ibu bapa mentua bahawa mereka berdua boleh menjadi lebih baik dengan syarat semua pihak jelas dan memahami kedudukan masing-masing.

“Paling penting, suami perlu pamerkan kematangan yang tinggi. Suami yang beriman, matang, tenang, sabar dan waras serta bijaksana Insya-Allah dapat buat keputusan terbaik dalam menyelesaikan masalah rumah tangga.

“Isteri pula, uruslah stres de­ngan sempurna, bercampur de­ngan orang-orang positif, jangan membangkang perkara yang baik dan banyakkan berdoa,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN