fbpx
ELLA FAZIRA berasa sangat takut apabila ‘diganggu’ lembaga putih berambut panjang ketika menginap di asrama. – ILUSTRASI SHAH HASAN

Diganggu lembaga seram sewaktu bermalam di asrama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PENGALAMAN pertama kali tinggal di asrama bukan sahaja mendatangkan keterujaan, bahkan menjadi pengalaman tidak akan dilupakan dalam hidup apatah lagi terpaksa melalui peristiwa seram.

Ella Fazira Suwadi, 29, berkata, sepanjang hidupnya memang tidak pernah mempunyai pengalaman menetap di asrama.

Namun katanya, dia mendapat kesempatan tinggal di asrama selepas mengikuti kursus dandanan rambut dan spa di Johor Bahru, Johor.

Katanya, meskipun kejadian itu telah 10 tahun berlalu, namun apa yang dilaluinya seolah-olah masih segar diingatan.

Anak ketujuh daripada sembilan beradik itu berkata, kursus selama tiga bulan tersebut berlalu pantas ekoran rasa teruja ingin mendalami ilmu dalam bidang diminatinya itu.

Tambahan pula, Ella Fazira dapat berjumpa dan bersilaturahim dengan kira-kira 20 rakan sebilik yang ‘sekepala’ dari merata tempat.

Menceritakan detik permulaan memasuki bangunan kedai dua tingkat dijadikan asrama itu, Ella Fazira berkata, dia dan rakan-rakan tidak merasai apa-apa yang aneh.

Bagaimanapun, kegembiraan itu bertukar pengalaman menyeramkan pada minggu-minggu terakhir menetap di asrama tersebut.

Jelasnya, bukan sekali tetapi dua kali dia ‘diganggu’ dengan situasi aneh sehingga membuatnya meremang bulu roma apabila mengingati kembali detik itu.

“Selama dua bulan lebih kami tinggal di asrama itu, tiada pun perkara aneh berlaku. Kami seronok sahaja, masing-masing tidak ada bercakap apa-apa yang misteri.

“Asrama itu hanya tempat kami melepaskan lelah pada sebelah malam selepas seharian di kelas. Jadi, saya anggap masing-masing memang tiada masalah dengan bilik tersebut.

“Pada minggu terakhir kami di sana, tidak sangka pula saya ‘diganggu’. Ada satu malam itu ketika sedang tidur iaitu antara pukul 2 hingga 3 pagi, saya ternampak kelibat lembaga putih berambut panjang mencecah kaki.

“Dalam keadaan gelap, saya tidak dapat melihat wajah lembaga itu dengan jelas. Namun, jelmaan wanita itu seolah-olah mahu ‘bermain-main’ dan cuba mengusik saya.

“Lebih menyeramkan, hilai tawanya memang serupa dengan hantu dalam cerita-cerita seram yang saya pernah tonton sebelum ini,” katanya.

Cerita Ella Fazira, ketika itu, bukan sahaja bulu roma menegak, bahkan badan mulai rasa seram sejuk kerana ketakutan.

Jelasnya, segala ayat al-Quran dibaca sehinggalah bacaan ayat Kursi dilantunkan, sebelum jelmaan itu menghilangkan diri.

“Sebaik sahaja jelmaan itu tiada, saya terus berlari ke katil kawan. Sempat juga saya mengejutkan rakan dan memberitahu saya sedang ketakutan kerana dikacau ‘benda’ itu.

“Kawan yang sedang mamai sekadar mendengar, sebelum saya tertidur di katilnya. Kejadian itu adalah pengalaman pertama saya berjumpa makhluk yang betul-betul menyeramkan.

“Kalau kata saya bermimpi, tidak mungkin. Saya yakin masih sedar ketika itu kerana sempat berlari ke katil kawan. Rupanya kejadian seram itu bukanlah pertama kali berlaku di dalam bilik berkenaan.

“Apabila bercerita tentang kejadian itu barulah saya tahu sebelum ini ada penghuni bilik berkenaan pernah diganggu sehingga diserang histeria,” katanya.

Ella Fazira berkata, sangkanya kejadian seram itu akan berakhir di situ, namun ternyata dia masih diganggu lagi ketika hari-hari akhir menetap di asrama tersebut.

Bezanya kali ini bukan melalui jelmaan menyeramkan tetapi menerusi mesej yang diterima dalam telefon bimbitnya.

“Ketika itu, saya sahaja yang tidak tidur kerana berborak menerusi telefon dengan teman lelaki. Kami berborak sampai 2 pagi.

“Ketika sedang berborak tiba-tiba ada mesej masuk. Mesej itu daripada kawan di depan katil saya. Sempat saya menjengah memang dia sedang nyenyak tidur.

“Anehnya, ada mesej dari nombornya yang masuk walaupun dia sedang tidur.

“Pesanan itu lebih kurang seperti ini: “Lepas ini kita sudah tidak dapat sama-sama lagi, sudah tidak boleh makan sama-sama.”

“Mesej itu juga berpesan agar saya jangan sampai tersalah pilih kawan. Kami sempat berbalas mesej, tetapi cara mesej itu memang bukan gaya tulisan kawan saya.

“Lama-kelamaan saya mula rasa pelik dan hati rasa tidak sedap. Jadi, saya terus mematikan telefon dan tidur dalam ketakutan,” katanya.

Menurutnya, pada keesokan hari, usai bangun tidur dia segera menunjukkan mesej tersebut kepada rakannya.

“Rakan saya menafikan ada menghantar mesej itu. Selepas itu barulah kami cerita kejadian berkenaan kepada cikgu. Menurut Cikgu, rumah kedai itu memang agak ‘keras’.

“Cikgu beritahu bahawa bangunan itu sebelum ini terbengkalai terlalu lama dan menjadi usang sebelum dibangunkan semula. Mungkin itu yang menyebabkan bangunan berkenaan menjadi ‘keras’.

“Disebabkan itu, kami membatalkan hasrat untuk tinggal semalam lagi di situ. Kami terus kemas barang dan balik ke rumah,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN