KUALA LUMPUR – “Kami seronok cari pasangan sejenis secara terbuka dan kumpulan yang menyokong tindakan kami lebih ramai dan semakin bertambah.”
Itu kata usahawan kosmetik yang lebih mesra disapa Syasya yang bangga menjadi individu songsang kerana nalurinya lebih kepada kewanitaan sejak berusia 10 tahun.
Syasya, 36, berkata, dia hanya tertarik kepada lelaki maskulin dan bukannya sejenis ‘gay’.
“Terimalah keadaan saya dan pondan-pondan lain, kami habis berpuluh-puluh ribu ringgit, malah ada yang sanggup berbelanja sehingga RM100,000 semata-mata nak nampak cantik dan sama macam wanita di luar sana.
“Saya tak nampak ada yang salah, lagipun kita ada hak sebagai manusia dan tiada sapa boleh halang tindakan dan kemahuan kami menjadi seperti ini,” katanya kepada Kosmo! Ahad di Bukit Bintang di sini baru-baru ini.
Syasya berkata, sejak berusia 10 tahun lagi, dia memang ‘geram’ apabila melihat kakaknya bersiap cantik-cantik dan memakai gincu, sedangkan dia hanya pakai seluar jeans dan baju-T.
“Apabila kakak pergi sekolah, saya curi-curi masuk bilik dia untuk bersolek sama macam kakak, nampak cantik, dan masa umur 13 tahun, saya senyap-senyap beli alat solek di luar,” ujarnya.
Sementara itu, Harry, 28, pula mendedahkan, dia yang terjebak dunia pengkid pernah menjalinkan hubungan dengan belasan wanita sejak berumur 13 tahun.
Kata Harry, segalanya bermula apabila dia mempunyai seorang kakak angkat di sekolah, namun hubungan akrab umpama adik-beradik lama-kelamaan bertukar menjadi hubungan cinta.
“Hubungan pertama hanya kekal selama setahun lebih. Saya mempunyai ramai peminat dalan kalangan pelajar perempuan dan saya sering bertukar-tukar pasangan.
“Di sekolah menengah sahaja saya pernah bercinta dengan 10 perempuan, tetapi bukanlah secara serentak,” katanya.
Menurutnya, apa yang berlaku itu hanya permulaan dan keadaan bertukar 100 peratus apabila dia memasuki universiti sehingga tinggal bersama pasangannya dan menjalani kehidupan seperti ‘suami isteri’.
Ditanya perasan sebenar menjadi pengkid, Harry mengakui hanya berasa bangga disebabkan memiliki teman wanita yang berwajah cantik.
“Ada lelaki yang cemburu sebab perempuan boleh suka pengkid seperti saya, sedangkan mereka nak dapat seorang girlfriend pun susah,” katanya.














