fbpx

Magis lagu galau, air mata Cakra Khan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
CAKRA Khan mendedahkan arwah ayahnya mengalakkan dia menyertai pertandingan nyanyian sejak usia remaja.

KUALA LUMPUR – Air mata Cakra Khan tumpah di hadapan lebih 2,500 penonton yang memenuhi Dewan Plenary Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), malam tadi ketika menyanyikan lagu Ayah yang didedikasikan khas buat bapa tercinta, Allahyarham Herman.

Lagu nyanyian asal Rinto Harahap yang mendapat sentuhan semula maestro muzik Datuk Ramli MS dari segi susunan melodi tersebut menjentik hati penyanyi popular Indonesia itu pada Konsert A Decade: Cakra Khan Live In Kuala Lumpur 2023.

Segmen penghargaan untuk ayah tercinta yang dijemput Ilahi dua tahun lalu membuatkan Cakra tidak mampu menahan sebak, apatah lagi ini kali pertama ibunya, Entik Trisuyatmi hadir menyaksikan konsert meganya di sini.

Detik melankolia itu turut ‘merebak’ dalam kalangan peminat tegar yang sama menyelami perasaan kehilangan insan tercinta sehingga ramai dilihat menyapu air mata dan tidak kurang tampak teresak-esak melayan syahdu.

Selain Ayah yang dialunkan pada pertengahan persembahan, gelanggang terlebih dahulu dipanaskan katalog lagunya sendiri seperti Adalah Aku, Salah Tapi Baik dan Cintamu Bukan Untukku.

ALLAHYARHAM Herman meninggal dunia pada 2020 akibat angin ahmar.

Setiap lagu mempunyai cerita tersendiri dalam galur perjalanan seni Cakra genap sedekad lalu terutama terhadap individu pertama mempercayai bakatnya yang dipanggil Pak William Chow.

Sudah pasti vokal emas pemilik nama sebenar Cakra Konta Paryaman, 30, itu terus membuai khalayak yang larut dalam emosi apabila Kepada Hati, Mencari Cinta Sejati, Opera Tuhan dan lagu baharu berjudul Nanti pula diperdengarkan.

Malah, bagai dijanji Cakra tidak melupakan penghibur senior yang menjadi idola iaitu Datuk Seri Siti Nurhaliza dengan memilih menyanyikan lagu Bukan Cinta Biasa dan Seluruh Cinta, selain lagu Terlalu Cinta oleh Rossa.

Dua penghibur dihormatinya itu turut hadir memberi sokongan malah ramai selebriti turut duduk di kerusi penonton termasuk Puteri Sarah Liyana, MK K-Clique, Azira Shafinaz, Nabil Ahmad, Fazura, Fattah Amin dan Sherry Alhadad.

Terdahulu Khai Bahar dan Aina Abdul yang diundang sebagai penyanyi jemputan menyemarakkan malam konsert dengan lagu mereka secara solo dan segmen duet bersama Cakra.

Momentum persembahan terus memahat kenangan dengan Hanya Memuji (Shanty), I Will Survive (Gloria Gaynor), Jealous (Labyrinth) serta Kamelia (Sweet Charity).

Sebelum menutup tirai dengan dendangan wajib, Harus Terpisah dan Kekasih Bayangan, Cakra berkongsi pentas dengan teman baiknya, Ade Govinda menyampaikan Tanpa Batas Waktu.

Tidak terasa hampir tiga jam konsert anjuran Seven Skies Motion penuh magis itu berlangsung yang menyajikan seleksi galau, namun tiada siapa mampu menafikan setiap dendangannya serba nyaman buat penenang sukma jiwa. – KOSMO ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI