fbpx

Cedera hamstring leburkan impian Piala Dunia Shahril

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SHAHRIL (duduk) terkilan tidak dapat bersama skuad hoki kebangsaan untuk aksi seterusnya selepas mengalami kecederaan hamstring, sekali gus melupakan kempen Piala Dunia Hoki 2023 di India ketika ini.

BHUBANESWAR – Penyerang berbisa Malaysia, Muhammad Shahril Saabah masih tidak dapat menerima hakikat dia ‘di­serang’ kecederaan hamstring sehingga terpaksa melupakan kempen Piala Dunia Hoki 2023 ketika ini.

Shahril, 28, tanpa berselin­dung mengakui, kecewa kerana gagal membantu skuad hoki negara turun menentang New Zealand pada aksi terakhir Kumpulan C di Stadium Kalinga semalam.

“Rasa terkilan terlepas peluang nak bantu Malaysia sebab niat saya memang nak main dekat sini. Badan saya fit, cergas tetapi saya tak tahu macam mana boleh kena hamstring.

“Sebelum aksi dengan Chile lagi dah rasa ketat di bahagian hamstring tetapi saya tutup mata sahaja sebab ini adalah Piala Dunia. Habis perlawanan barulah saya terus buat MRI (Pengimejan Resonans Magnetik),” katanya.

Pemain dengan 150 kaps antarabangsa itu menegaskan, tahap kecederaan hamstring kirinya mampu menjadi lebih serius jika dia mengambil risiko turun beraksi bersama rakan sepasukannya dalam kempen ini.

“Keputusan MRI memang ada nampak koyak (hamstring) tetapi tak besar. Kalau saya paksa juga, mungkin boleh koyak sehingga 15 sentimeter macam pernah saya alami di paha kanan sebelum ini.

“Tempoh pemulihan tiga minggu sebab tak teruk sangat. Kalau teruk, saya tak boleh angkat kaki, nak jalan pun kena pakai tongkat. Saya tak ambil risiko sebab ia boleh jadi lebih serius,” jelas Shahril.

Justeru, Shahril berharap penggantinya, Shahmie Irfan Suhaimi memanfaatkan peluang keemasan ini untuk menyinar dan menunjukkan kemampuannya bagi membantu perjalanan skuad kebangsaan.

“Piala Dunia adalah pentas paling besar selepas Sukan ­Olimpik. Harap dia terus beri yang terbaik dan cuba layakkan skuad negara ke kelompok lapan terbaik,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI