fbpx

100 tan sampah dikutip di Gua Musang setiap hari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Hamdan (kiri) bersama wakil pelbagai agensi bergotong-royong membersihkan kawasan Taman Rimba, Gua Musang hari ini. FOTO AIMUNI TUAN LAH

GUA MUSANG – Majlis Daerah Gua Musang (MDGM) berjaya menguruskan sebanyak 33,600 tan metrik sisa pepejal yang dibuang lebih 100,000 penduduk di daerah ini untuk dihantar ke tapak pelupusan sampah setiap tahun.

Setiausaha MDGM, Ahmad Hamdan Ubaidah berkata, secara puratanya, dianggarkan 100 tan sampah dihasilkan penduduk setiap hari atau 2,800 tan sebulan.

Katanya, proses kutipan sampah itu melibatkan keluasan operasi lebih 445 hektar di kawasan Bertam, Galas dan Lojing.

“Sebanyaj lima buah lori sampah akan bergerak mengikut jadual ke kawasan yang ditetapkan setiap hari Ahad hingga Khamis bermula pukul 7 pagi.

“Sisa pepejal yang dikutip itu akan dibuang ke tapak pelupusan sampah di Batu 5, Renok Baru di sini,” katanya kepada pemberita selepas Program Gotong Royong Kelantanku Bersih peringkat daerah Gua Musang anjuran MDGM di Taman Rimba di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Hamdan berkata, lebih 100 anggota dari pelbagai agensi seperti MDGM, Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang, Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar), Pejabat Kesihatan Daerah Gua Musang, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Amal, Roadcare dan Selenggara Timur terlibat dalam program berkenaan.

“Kita menyahut seruan kerajaan negeri Kelantan untuk memberi kesedaran mengenai aspek kebersihan termasuk di lokasi tumpuan awam.

“MDGM memilih lokasi Taman Rimba kerana ia merupakan tempat yang sering dikunjungi oleh orang ramai. Kita berharap orang awam dapat sama-sama menjaga kebersihan kawasan persekitaran,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI