fbpx
SABRI YUNUS

Saya bukan promosi gengsterisme – Sabri Yunus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SUSUK bernama Sabri Yunus itu lancar membutirkan buah akal berkongsi kisah karya baharunya, Duan Nago Bogho yang dibintangi ramai pelakon handalan seperti Asrul Faizal, Sangeeta Krishnasamy, Jojo Goh, Saidi Sabri dan Datuk Rosyam Nor.

Mengangkat dramatari tradisional mak yong, anak Kelantan berusia 62 itu berkata, ilham pembikinan filem berkenaan tercetus hasil pengalaman peribadi terhadap kesenian yang semakin ditelan zaman tersebut.

Jelasnya, ada tiga faktor utama mendukung penghasilan Duan Nago Bogho iaitu mengenai ketinggian cinta, pertembungan ideologi nilai kesenian dan nilai setia kawan serta pembelotan dalam perhubungan.

Sabri percaya untuk terus memajukan seni perfileman, asimilasi budaya adalah perkara yang perlu ditekankan di Malaysia

‘Mahal’nya mak yong

“Ketiga-tiga faktor itu saya rangkumkan menjadi sebuah naskhah dan tunjang penceritaan yang ingin disampaikan.

“Duan Nago Bogho bukanlah sebuah filem aksi sebaliknya lebih kepada perjuangan mempertahan maruah seni mak yong.

“Watak Duan juga seorang yang melalui dunia pergaduhan demi maruah diri, namun dia bukan jahat atau samseng, tetapi orang yang sangat menjaga maruah dan harga diri – maruah dan harga seninya,” ujarnya.

Watak Duan dipegang Asrul Faizal yang sebelum ini sangat dikenali menerusi filem Budak Kelantan.

Kata Sabri lagi, pemilihan Asrul memainkan watak Duan adalah sangat bertepatan memandangkan pelakon itu sudah cukup kenal perihal mak yong.

PENGLIBATAN pelakon bukan Melayu sebagai pemain mak yong menjadi simbolik bahawa kesenian dan budaya bukanlah milik mutlak satu-satu bangsa.

“Saya ambil dia berlakon sebab dia memang mahir dalam seni tradisional, mak yong. Kerja saya jadi mudah sebab dia berlakon dalam filem ini.

“Sungguhpun begitu, saya tidak memandang enteng tugas sebagai pengarah (dan pelakon) dalam filem ini.

“Saya cuba gabungkan seni tradisional dengan mesej yang cuba disampaikan. Filem ini tak promosi budaya gangsterisme. Itu satu tanggapan yang salah.

“Syarat saya cuma satu buat Asrul iaitu dia kena kuruskan badan dalam filem ini.

“Itu kehendak saya sebagai pengarah dan alhamdulillah, dia berjaya buat perihal tersebut dan sekali gus menterjemah watak Duan dengan cemerlang,” terangnya kepada HibGlam usai tayangan perdana filem terbabit di ibu negara, baru-baru ini.

Sebagai pengarah, Sabri menekankan kritikan sosial baik secara tersurat atau tersirat dalam projek filemnya. – IHSAN EMPIRE STUDIO FILM

Nilai komersial, kritikan sosial

Bercakap tentang pembabitan Jojo dan Sangeeta, Sabri turut menyifatkan pembabitan pelakon bukan Melayu dalam garapan karyanya sebagai simbolik kepada perkongsian kesenian yang tidak seharusnya disimpan untuk satu-satu bangsa.

“Kesenian yang ada harus dikongsi dengan bangsa lain dalam negara kita dan pada saya, jika tidak boleh berkongsi dengan orang (kaum) lain, maka banyak benda orang lain tidak boleh terlibat dengan kita,” katanya.

Ditebak pertanyaan nilai komersial dan kritikan sosial dalam filem tersebut, Sabri yang cukup dikenali menerusi jenama Pok Ya Cong Codei tersenyum lalu berkata: “Mak yong perlu diperkenalkan kepada dunia.

“Bayangkan, buah epal ingin terus dikomersialkan kepada dunia, buat apa?

“Kalau buah salah (atau buah yang kita tak lazim), memang perlu dikomersialkan. Barulah ‘kena’.

“Tentang kritikan sosial, memang dalam setiap projek seni saya selitkan semua itu. Yang tahu, tahulah. Tengok filem ini dengan hati yang terbuka.”

Diminta mengulas tentang kejayaan anak tempatan di mata dunia, Sabri menyambut baik usaha mereka yang mempunyai impian besar supaya berkelana di luar negara.

Duan Nago Bagho turut dibintangi pelakon bukan Melayu seperti Sangeeta dan Jojo Goh yang cemerlang memainkan peranan masing-masing dalam filem.

‘Hijrah kalau impian besar’

Katanya, kejayaan figura hebat seperti Tan Sri Michelle Yeoh sepatutnya menjadi pembakar semangat penggiat seni tanah air, sama ada lakonan mahupun nyanyian untuk membina nama di peringkat antarabangsa.

“Bagi saya, kalau orang yang bercita-cita tinggi macam Michelle Yeoh, mereka patut berhijrah.

“Sebab, di sana (Hollywood) gelanggang lebih besar. Industri Malaysia ini kecil sahaja. Kejayaan Michelle Yeoh memang wajar dan perjalanan seninya amat panjang,” katanya.

Tambah Sabri, industri seni perfileman Malaysia memerlukan lebih banyak anjakan paradigma sekiranya ingin setanding dengan negara hebat dalam cabang seni tersebut.

FILEM Duan Nago Bogho bakal menjengah di pawagam bermula 19 Januari ini.

“Untuk industri kita, banyak fasa atau proses perlu ditempuh untuk capai tahap global seperti negara lain.

“Bikin filem bukan semudah dengan kata-kata, ‘marilah kita menuju kejayaan’ dan dengan mudah, perkara itu berlaku. Tidak dan bukan begitu.

“Macam saya cakap tadi, Malaysia bukanlah industri yang besar. Kita masih merangkak dan mencari-cari. Tetapi, ada ruang-ruang yang boleh diterokai.

“Bagi saya, kita buat sehabis baik dalam kerja kita. Yang baik itu, akan menolak pergi ke atas,” ujarnya optimis.

Duan Nago Bogho terbitan Kalamariff Holdings dan edaran Empire Film Solutions akan menemui penonton di pawagam seluruh Malaysia pada 19 Januari 2023.

Kata Sabri, filem Duan Nago Bagho bukanlah sebuah karya yang mempromosi budaya gengstersime.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN