fbpx

Perlu masa serasi latihan Rosman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
EE YI dan Yew Sin mengakui memerlukan masa untuk dapat menyesuaikan diri dengan rejim latihan Rosman yang baharu dilantik sebagai jurulatih mereka.

BEREGU lelaki profesional negara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin masih memerlukan sedikit masa bagi menyesuaikan diri dengan rejim latihan diterapkan jurulatih baharu, Rosman Razak yang memulakan tugasnya awal Januari.

Gandingan yang berada pada ranking ketujuh dunia itu menampilkan aksi cukup baik ketika tewas kepada jaguh dari Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto pada suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2023 Jumaat lalu.

Tampil dengan aksi kemas pada set pertama untuk menca­tat kemenangan 21-14, namun Ee Yi-Yew Sin tidak dapat menyekat kebangkitan beregu No. 1 dunia itu apabila tunduk 16-21, 17-21 dalam dua set berikutnya.

Selepas kekalahan itu, Ee Yi melaungkan azam untuk memperbaiki setiap kelemahan selain mahu menyesuaikan diri dengan corak latihan Rosman yang berbeza dengan pengendali terdahulu, Chin Eei Hui.

“Saya rasa selepas tukar jurulatih, ada beberapa perkara yang baru dan perlukan sedikit masa untuk kami sesuaikan diri. Ada benda berbeza dan kita juga sedang belajar, ia berjalan lancar setakat ini.

“Setiap jurulatih ada cara yang berbeza seperti program latihan dan beberapa aspek lain, namun ia tetap berguna untuk semua pemain. Terima kasih kepada Rosman dan Eei Hui, jadi kami akan terus belajar,” katanya.

Untuk rekod, Eei Hui yang membimbing mereka sehingga memenangi pingat gangsa pada Kejohanan Badminton Dunia 2021 menyerahkan tugas kepada Rosman selepas beliau me­nerima tawaran menjadi jurulatih Kelab Badminton North Harbour di New Zealand.

Sementara itu, Yew Sin menjelaskan, mereka bermain seperti biasa ketika berdepan Fajar-Rian meskipun sedang menggalas harapan seluruh rakyat Malaysia yang mahu menyaksikan sekurang-kurangnya satu wakil negara melangkah ke separuh akhir.

“Bagi saya, kami tidak berada dalam keadaan tertekan walaupun menjadi pemain terakhir Malaysia yang beraksi pada Terbuka Malaysia. Saya tahu penonton mengharapkan kami layak ke separuh akhir, namun kami sudah cuba yang terbaik,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI