fbpx

Gangguan bekalan elektrik di Semenanjung Julai lalu akibat ‘tripping’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kejadian gangguan bekalan elektrik Julai tahun lalu menimbulkan sedikit kekecohan di beberapa lokasi termasuk di Lembah Klang.

PETALING JAYA – Suruhanjaya Tenaga (ST) mendapati insiden gangguan bekalan elektrik yang berlaku pada 27 Julai lalu di beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia, berpunca daripada kejadian pelantikan (tripping) di Pencawang Masuk Utama (PMU), Yong Peng North.

Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim menerusi kenyataannya berkata, kerosakan peralatan pengasing (disconnector) di PMU Yong Peng North menyebabkan berlakunya pancaran arka (flashover) dan menyambar ke talian bersebelahan dan mengakibatkan PMU Yong Peng North terpelantik.

“Untuk makluman, PMU tersebut mula beroperasi sejak tahun 1987 merupakan titik penting dalam sistem grid yang menghubungkan Wilayah Selatan dengan Wilayah Tengah dan Utara.

“Ia menyebabkan sistem grid terpisah kepada dua wilayah dengan frekuensi operasi yang berbeza, iaitu 48.9Hz di Wilayah Tengah dan 51Hz di Wilayah Selatan,” katanya.

Katanya, bagi menstabilkan frekuensi grid di Wilayah Tengah, mekanisme Skim Perlucutan Beban Automatik (Under Frequency Load Shedding-UFLS) telah diaktifkan bagi mengelakkan sistem grid daripada lumpuh sepenuhnya dengan kehilangan beban sebanyak 2,269 megawatt (MW) yang melibatkan sebanyak 65 PMU.

Siasatan oleh jawatankuasa siasatan yang melibatkan pakar teknikal bebas mendapati kerja-kerja penyelenggaraan di PMU Yong Peng North telah dilaksanakan mengikut jadual yang sepatutnya dan tiada unsur-unsur kecuaian dikenal pasti sebagai punca kejadian.

“Sebagai langkah segera, Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah mengambil tindakan pantas dengan menukar semua disconnector di PMU Yong Peng North.

“Siasatan tersebut turut meneliti sama ada kejadian tersebut mematuhi Standard Prestasi Perkhidmatan (Guaranteed Service Level – GSL) TNB atau sebaliknya sebagai asas penentuan sama ada pelanggan terlibat layak diberikan rebat atau pun tidak,” katanya.

Tambahnya, berdasarkan semakan GSL, didapati proses pemulihan bekalan diselesaikan pihak TNB dalam tempoh yang dibenarkan di mana bekalan elektrik berjaya dipulihkan sepenuhnya dalam tempoh 2 jam 23 minit.

“Justeru, tiada penalti dalam bentuk rebat untuk pengguna dikenakan kepada TNB.

“Semua pihak terlibat telah mengambil langkah-langkah mitigasi jangka masa pendek, sederhana dan panjang bagi memastikan kebergantungan sistem grid di Semenanjung Malaysia dapat dipertingkatkan dan insiden sama dapat dielakkan berlaku di masa hadapan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI