fbpx

Bekas koperal polis, isteri terlibat sindiket edar ganja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHD. Shuhaily ketika sidang akhbar tangkapan dan rampasan 453 ketulan ganja mampat di IPK Pulau Pinang, hari ini. Gambar Iqbal Hamdan.

GEORGE TOWN – Polis Pulau Pinang menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah jenis ganja di negeri ini selepas menahan tiga suspek termasuk bekas anggota polis dan isterinya dalam tiga serbuan berasingan di Penaga, Seberang Perai Utara, dekat sini Jumaat lalu.

Dalam serbuan tersebut, polis berjaya merampas 453 ketulan mampat ganja seberat 451 kilogram bernilai RM1.13 juta dan dalang utama sindiket itu merupakan seorang ahli perniagaan berusia 42 tahun turut diberkas.

Ketua Polis Negeri, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, dalam serbuan bermula 7.30 malam itu, polis menahan suspek pertama yang sedang berada di atas motosikal di Jalan Bendahara, Penaga.

“Menerusi penahanan suspek pertama ini, polis berjaya merampas 10 ketulan mampat disyaki ganja seberat 10.2 kilogram bernilai RM25,000.

“Suspek yang merupakan bekas anggota polis berpangkat Koperal berusia 33 tahun telah dibuang kerja pada 2018 kerana kesalahan berkaitan dadah dan suspek telah bertugas selama 11 tahun di mana penugasan terakhir ialah di Marang, Terengganu,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini hari ini.

Menurutnya, susulan penahanan suspek pertama, polis kemudiannya menyerbu sebuah rumah di kawasan sama dan menahan isteri suspek yang merupakan seorang pekerja kilang berusia 33 tahun.

Dalam pada itu, polis kemudian menyerbu di kawasan sama kira-kira pukul 8.30 malam dan berjaya menahan dalang utama sindiket ini di sebuah rumah di kawasan yang berhampiran dengan rumah suspek pertama serta kedua. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI