fbpx
Mohammad SYAFARIZAN (gambar kecil) merupakan salah seorang kru kapal kargo MV Dai CAT 06 yang dilaporkan hilang sewaktu dalam pelayaran ke Kuching pada 1 Januari lalu.

Bapa kru kapal MV Dai Cat 06 yakin anak masih hidup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GEORGE TOWN – Keluarga seorang kru kapal kargo, MV Dai Cat 06 yang dilaporkan hilang sejak 1 Januari lalu yakin dan percaya anak mereka masih hidup meskipun tiada khabar berita mengenainya setakat semalam.

Mohd. Noor Mat Isa, 53, berkata, mereka sekeluarga tidak pernah putus-putus berdoa agar dipertemukan semula dengan anaknya, Mohammad Syafarizan, 24, yang merupakan ketua operasi kapal kargo tersebut.

Menurut Mohd. Noor, keja­dian yang menimpa anak sulung daripada tujuh beradik itu mengganggu emosi keluarganya terutama isterinya, Siti Nurhasanah, 45, yang masih bersedih setiap kali terkenangkan nasib Mohammad Syafarizan.

“Naluri saya dan isteri kuat mengatakan yang anak kami (Syafarizan) masih hidup. Dia sentiasa berhubung dengan kami sejak keluar bekerja dengan syarikat kapal tersebut yang berpangkalan di Lumut, Perak pada Disember lalu.

“Cuma, ada dua kemungkinan yang kami jangka sama ada kapal kargo muatan besi tersebut meng­alami kerosakan enjin atau ditawan semasa berada di lautan memandangkan ia membawa muatan yang bernilai sewaktu kejadian,” katanya kepada Kos­mo! di sini semalam.

Mohd. Noor memberitahu, sejak kejadian itu, dia menunggu perkembangan terkini mengenai kapal kargo tersebut daripada pihak Maritim Rescue Control Centre (MRCC) di Putrajaya setiap hari.

“Seandainya karam di lautan, pasti ada peralatan yang timbul atau jika rosak, kru mesti selamatkan diri dengan memakai jaket dan menaiki bot keselamatan.

“Namun, yang menghairankan sampai hari ini sudah dua ming­gu berlalu, masih belum ada sebarang penemuan,” ujarnya.

Bercerita lanjut, Mohd. Noor berkata, Mohammad Syafarizan ada memaklumkan kepada ibunya bahawa kapal kargo tersebut sarat dengan muatan besi semasa membuat panggilan video terakhir pada pukul 6.30 petang, 1 Januari lalu.

“Panggilan video itu dibuat semasa dia baru hendak bertolak dari Selat Singapura ke Timur Laut Indonesia. Dia juga ada menunjukkan keadaan di atas kapal berkenaan.

“Dia beritahu lagi, jika berlaku ombak besar pasti kapal tersebut akan karam.

“Sehingga hari ini (semalam) kami cuba menghubunginya tetapi gagal. Besar harapan kami agar pihak kerajaan dapat melipatgandakan operasi pencarian sehingga mereka ditemui semula,” tambahnya.

Mohammad Syafarizan baru bekerja di syarikat tersebut pada bulan lalu dan pelayaran ke Kuching, Sarawak itu adalah yang pertama.

Selain Mohammad Syafarizan, empat lagi kru yang hilang ialah Mohammad Sudeh Sudin, 20, dan Derrent Littor, 22, yang merupakan warga tempatan dan dua warga Indonesia dikenali sebagai Adi, 43, dan jurutera kanan, Damai Papane Ole, 57.

Sebelum ini, media melaporkan, sebuah kapal kargo membawa muatan 527 besi paip yang dianggarkan bernilai RM726,000 berlepas dari Jeti Kampung Aceh, Perak pada 23 Disember lalu.

Kapal tersebut sepatutnya tiba di Kuching pada 31 Disember lalu.

Lokasi terakhir kapal itu dikesan melalui sistem Automatic Identification System adalah pada 1 Januari lalu di perairan Indonesia kira-kira 0.2 batu nautika dari sempadan perairan negeri Johor.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN