fbpx

Michelle Yeoh menang Golden Globes, Fahmi Fadzil ucap tahniah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FAHMI Fadzil tumpang gembira dengan kemenangan Michelle Yeoh yang dilihat sebagai penghormatan buat negara.

PETALING JAYA – Kemenangan Tan Sri Michelle Yeoh yang menjadi pelakon Malaysia pertama memenangi Anugerah Golden Globes meraih kebanggaan ramai termasuk Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.

Tidak menunggu lama, Fahmi mengucapkan tahniah kepada bintang kelahiran Ipoh, Perak itu sebaik berita kemenangannya di acara yang berlangsung di Los Angeles, Amerika Syarikat, diumumkan semalam.

“Suatu pencapaian yang sungguh menakjubkan dan pastinya amat berbaloi. Satu penghormatan buat negara,” katanya menerusi laman Twitter miliknya.

Michelle, 60, mengenepikan Hesley Manville yang mewakili filem Mrs Harris Goes to Paris, Margot Robbie (Babylon), Anya Taylor-Joy (The Menu) and Emma Thompson (Good Luck to You, Leo Grande).

Beliau merupakan pelakon Asia kedua yang memenangi anugerah tersebut, selepas Awkwafina pada 2020 untuk filem The Farewell.

Sementara itu, penguasaan Pelakon Wanita Terbaik (Filem Muzikal/Komedi) dalam Everything Everywhere All At Once itu juga diramalkan pemerhati mempunyai potensi cerah untuk membawa pulang Oscar.

Andai ramalan berkenaan seperti dijangka, Ikon Tahun 2022 oleh majalah Time itu bakal menjadi penerima pertama Asia yang memenangi Anugerah Academy atau Oscar bagi kategori pelakon wanita.

Begitupun, sebarang pencalonan Anugerah Akademi ke-95 hanya akan diumumkan dalam masa terdekat, manakala majlis anugerah tersebut pula akan diadakan pada Mac depan.

Sebelum ini, beberapa anak seni kelahiran Asia pernah memenangi Oscar antaranya Pengarah Terbaik bagi filem Parasite, Bong Joon-Ho, selain Chloe Zhao yang turut memenangi kategori sama menerusi Nomadland, manakala Youn Yuh-jung pula Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (Minari).

Sejak mula ditayangkan pada Mac tahun lalu, penampilan Michelle dalam filem ‘indie’ arahan Daniel Kwan dan Daniel Scheinert tersebut menjadi sebutan ramai sekali gus meletakkan keyakinan tinggi pengkritik filem terhadapnya.

Filem pecah panggung, Everything Everywhere All At Once ditayangkan sekitar Mac lalu yang menyaksikan Michelle melakonkan watak isteri dan ibu yang mahu menyelamatkan dunia.

Peranan sebagai pendatang berbangsa Cina yang gagal dalam perniagaan kedai dobi bernama Evelyn Wang, memberi kelebihan buat Michelle menyerlahkan kredibiliti sebagai pelakon versatil. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI