fbpx

Kerispatih, Sammy Simorangkir kembali bersatu di KL

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KONSERT Moments of Kerispatih with Sammy Simorangkir pada Februari depan menjadi saksi penyatuan kembali kumpulan itu dengan bekas vokalisnya, Sammy Simorangkir.

PETALING JAYA – Kehangatan lambakan kehadiran artis seberang memeriahkan suasana muzik di Malaysia terus bersambung dengan konsert band Indonesia, Kerispatih yang dibawakan tiga penganjur iaitu 4ward, Tiger Wong Entertainment dan MHT Live pada Februari depan.

Konsert berkenaan sekali gus menamatkan penantian peminat setia Kerispatih yang sudah lama menantikan kehadiran kumpulan tersebut menyampaikan lebih 20 buah seleksi lagu hit mereka secara langsung di Malaysia.

Menariknya, konsert yang dijadualkan berlangsung pada 24 Februari nanti berjaya menyatukan Kerispatih dengan mantan vokalis mereka, Sammy Simorangkir.

Konsert dengan judul Moments of Kerispatih with Sammy Simorangkir berdurasi dua jam tersebut bakal dipersembahkan di Zepp Kuala Lumpur.

Menyedari peminat amat menantikan lagu-lagu hit mereka disampaikan secara langsung, Kerispatih dan Sammy sendiri sudah tidak sabar untuk datang menghiburkan peminat di Malaysia.

“Jujurnya, kami sudah lama menanti kesempatan untuk kembali menyapa penggemar di Malaysia. Semestinya rindu, apalagi penggemar di Malaysia adalah antara pendukung terbesar kami.

“Mengambil semangat judul konsert ini, kami ingin berbagi nostalgia dan momen terbaik kepada semua menerusi barisan lagu yang akan dipersembahkan nanti.

“Ini pasti akan menjadi pertemuan perdana pada 2023 yang manis untuk dikenang dan diharap akan membuka lebih banyak pintu kami beraksi di sini pada masa akan datang,” ujar Kerispatih.

Ketua Pegawai Eksekutif 4ward, Nashrul Nasir berkata, kesempatan kolaborasi menganjurkan Moments of Kerispatih with Sammy Simorangkir dengan produksi dari Indonesia sebagai permulaan menuju lebih banyak kerjasama lebih besar pada masa depan.

“Sebagai penganjur tempatan, kami berbangga kerana dapat membawa Kerispatih dan Sammy Simorangkir kembali ke Malaysia, tentunya menerusi kolaborasi bersama dua penganjur lain konsert yang dijadual berlangsung 24 Februari ini bersifat mega.

“Mega dari segi barisan pemuzik iaitu Kerispatih dan Sammy Simorangkir yang sudah membawa pulang pelbagai anugerah. Bahkan mega dar segi lokasi konsert, sistem bunyi dan sambutan peminat kelak,” kata Nashrul.

Sementara itu, penganjur bersama, Tiger Wong Entertainment, Baim Wong, melahirkan rasa sangat berbesar hati membawakan Moments of Kerispatih with Sammy Simorangkir kepada peminat di Malaysia.

“Mengapa konsert ini diberi judul Moments of Kerispatih with Sammy Simorangkir adalah kerana kami percaya setiap penggemar mempunyai momen atau nostalgia tersendiri dengan lagu-lagu mereka.

“Kami mahu konsert ini kelak menjadi momen yang istimewa bukan sahaja buat Kerispatih dan Sammy Simorangkir yang sudah rindu bertemu peminat setia, tetapi juga buat penggemar yang dahagakan persembahan mereka secara langsung.

“Besar harapan kami agar konsert ini sukses diselenggara dan mencapai objektif, membayar kerinduan dan membangkit nostalgia lampau sekali gus mengukir momen baharu buat semua,” katanya.

Tiket konsert Moments of Kerispatih with Sammy Simorangkir mula dijual pada harga RM255 (Cat 1- Festival: free standing), RM355 (Cat 2: VIP upper deck-premium seat), RM305 (Cat 3- VIP upper deck- normal seat) dan RM4,800 (VIP box).

Peminat boleh mendapatkan tiket mulai 13 Januari ini bermula pukul 5 petang. Semua pembelian tiket boleh dibuat menerusi laman sesawang https://momentsofkerispatih.com. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI