fbpx

Tiada lagi had bilangan jemaah haji

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan. – AFP

RIYADH – Kerajaan Arab Saudi tidak akan menetapkan had bagi bilangan jemaah haji tahun ini selepas tiga tahun sekatan dikenakan bagi mengawal pandemik Covid-19.

Turut dihapuskan adalah had umur bagi jemaah yang ingin mengerjakan ibadah itu.

“Bilangan jemaah haji tahun ini akan kembali seperti ketika sebelum pandemik serta tanpa sebarang had umur,” kata Menteri Haji dan Umrah, Tawfiq al-Rabiah.

Haji, yang merupakan rukun Islam kelima bakal dilaksanakan oleh jemaah dari seluruh dunia pada bulan Jun tahun ini.

Dari 2009 hingga 2019, bilangan jemaah haji secara purata adalah hampir 2.3 juta orang setiap tahun.

Namun, disebabkan pandemik Covid-19, pada 2020, pihak berkuasa Arab Saudi mengumumkan bilangan jemaah dihadkan kepada hanya 1,000 orang.

Pada tahun berikutnya, angka itu dinaikkan kepada 60,000 jemaah yang terdiri daripada warganegara dan penduduk Arab Saudi yang menerima vaksinasi lengkap.

Bagi tahun tersebut, kriteria jemaah turut dihadkan kepada individu di bawah umur 65 tahun yang menerima vaksinasi lengkap.

Pada 2022, kerajaan Arab Saudi menaikkan lagi had bilangan jemaah, menjadikannya seramai 899,353 orang, ketika sekatan-sekatan Covid-19 semakin dilonggarkan.

Daripada angka itu, kira-kira 780,000 terdiri daripada jemaah asing yang kembali berpeluang untuk pergi ke kota suci Mekah dan Madinah.

Sementara itu, menurut laporan akhbar Saudi Gazette, Kementerian Haji dan Umrah turut menetapkan bahawa visa umrah akan dipanjangkan dari 30 hari kepada 90 hari sekali gus membolehkan para pemegangnya untuk berada di sekitar Arab Saudi.

“Mana-mana pengunjung yang datang ke Arab Saudi dengan memegang apa-apa jenis visa boleh melaksanakan ibadah umrah dan melawat Madinah.

“Kami bekerjasama dengan beberapa pihak berkaitan bagi meningkatkan pengalaman budaya buat pengunjung selepas mereka melaksanakan ibadah. 

“Dalam masa sama, ia dapat membangunkan dan mengaktifkan tapak-tapak bersejarah Islam yang berkaitan dengan kisah hidup Nabi Muhammad SAW,” kata Tawfik. – AFP/Agensi 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI