fbpx

Nak dilepaskan, bincang di rumah, ‘block’ sebab tak mahu bergaduh – Syamsul

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TEGAS Syamsul Yusof, dia menyekat nombor Puteri Sarah untuk mengelakkan pergaduhan.

PETALING JAYA – Susulan permintaan dilepaskan kerana tidak rela bermadu, Syamsul Yusof meminta isteri pertamanya Puteri Sarah Liyana pulang dulu ke rumah untuk berbincang.

Kata pengarah kontroversi itu, pintu rumah sentiasa terbuka buatnya, selain berasakan lebih baik bersemuka daripada mencanang hal rumah tangga dalam media sosial yang boleh mencetuskan fitnah.

“Jika mahu dilepaskan atau bersama, kita berbincanglah di rumah. Lebih baik kita hentikan membuka aib masing-masing dalam media sosial. Kita buka ruang kepada netizen untuk terus menghakimi.

“Lihat balik video saya sebelum ini. Saya ajak awak berbincang, jangan libatkan orang lain. Ini awak minta nak berpisah pula. Selama ini kita berkomunikasi melalui mak awak, mak saya dan orang gaji.

“Dua orang gaji awak nak saya bagi. Baru tadi kita berkomunikasi. Awak nak duit, saya bagi. Saya cari rezeki untuk awak dan anak,” katanya menerusi satu muat naik video dalam Instagram malam tadi.

Syamsul, 38, juga memberi maklum balas berkenaan ‘permintaan’ Puteri Sarah selain punca dia masih menyekat nombor isterinya itu dalam WhatsApp.

Mendakwa ibu kepada dua anaknya itu memaki-hamunnya dalam telefon atau WhatsApp sehingga tiada lagi rasa hormat,  itu alasan Syamsul bertindak menyekat nombor telefon isterinya.

“Berbalik kepada ‘block’ dia, orang kata saya macam-macam. Kenapa tak bawa berbincang, kenapa saya ‘block’? Saya tak nak cakap sebab nanti nampak saya salahkan isteri.

“Sekali lagi saya bagi tahu untuk mengelakkan fitnah yang mengatakan Syamsul jahat dan syaitan.

“Tidak mengapa orang kutuk saya. Sikit saya beritahu kenapa saya ‘block’ Sarah. Saya tak suka bergaduh. Macam mana saya nak berkomunikasi dengan awak kerana setiap kali, awak akan maki-hamun saya.

“Saya rasa ini memudaratkan dan saya sekat. Saya tak nak makin keruh. Tetapi saya tak pernah tidak hiraukan awak,” ulasnya lagi.

Tambah Syamsul, walaupun masih menyekat nombor telefon Puteri Sarah, selama ini tanggungjawab sebagai bapa tidak pernah diabaikan.

Malah tegasnya, masyarakat hanya tahu menghukum selain mendedahkan punya alasan tersendiri berkongsi perkara membabitkan rumah tangganya dalam media sosial.

“Sejak dulu lagi saya tidak suka untuk berkongsi semuanya dalam media sosial tetapi memandangkan isteri saya memulakan, jadi saya bersuara menangkis tanggapan buruk yang dilemparkan.

“Kalau anda di luar sana tidak tahu cerita sebenar, jangan jatuhkan hukum. Anda hanya mendengar dari sebelah pihak. Saya diam dan telan, namun keadaan bertambah buruk.

“Saya cakap bukan nak kata Sarah atau apa. Bila benda ini nak habis. Makin teruk kata-kata fitnah masyarakat. Saya terpaksa buat video ini, kalau tak tahu jangan bersuara hal rumah tangga orang. Dosa kering saja,” tegasnya.

Syamsul turut berpesan kepada Puteri Sarah supaya berhenti berkongsi cerita ‘dalam kain’ secara terbuka dan berharap orang ramai juga tidak memburukkan keadaan dengan mengutuk ibu bapanya.

Menerusi perkongsian sama, Syamsul menjelaskan keputusan mengahwini Ira Kazar dibuat bagi mengelakkan maksiat.

Bagaimanapun, dirinya terus dicerca seolah-olah masyarakat lebih suka melihat dia melakukan dosa daripada mengikut perintah Allah.

“Orang lebih rela saya buat maksiat daripada berkahwin, doakan saja yang terbaik, itu sajalah saya boleh cakap.

“Biarpun macam-macam saya dilabel, ada yang kata saya munafik, bapa syaitan dan sebagainya. Tak mengapalah, pintu taubat Allah sentiasa terbuka, sampai bila kita hendak terus bergaduh dan mengaib-aibkan.

“Saya pinta jangan ditohmah atau dimarah kedua-dua isteri saya, Puteri Sarah atau Ira. Jangan kutuk mereka, tapi hina saya. Saya yang membuat keputusan kahwin ikut hukum,” katanya lagi.

Begitupun, ketika berdepan bertubi-tubi ‘serangan’ sama ada dalam kalangan insan terdekat mahupun netizen, Syamsul menganggap semua yang berlaku adalah ujian Allah SWT.

Pemilik nama penuh Mohd. Syamsul Mohd. Yusof itu hanya berserah kepada-Nya terutama membabitkan balasan kepada pihak yang hanya pandai mengecam. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI