fbpx

UMNO Sabah sokong cadangan PM wujudkan Kerajaan Perpaduan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Bung Moktar (tengah) ketika ditemui media sejurus mengadakan pertemuan tertutup dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim malam tadi. - Foto IVAN AMIRUL

KOTA KINABALU – Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menyatakan beliau menyokong penuh cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar diwujudkan satu Kerajaan Perpaduan Negeri Sabah yang melibatkan seluruh parti politik.

Bung Moktar dalam kenyataannya berkata, beliau yakin dan percaya melalui kerajaan Perpaduan berkenaan ia mampu meredakan suhu politik dan seterusnya menstabilkan politik negeri Sabah ketika ini.

“Sebagai Ketua UMNO Sabah merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, saya menyokong penuh cadangan Perdana Menteri.

“Saya juga berharap agar Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dapat menerima dengan hati yang terbuka saranan ini demi menjamin kepentingan dan kesejahteraan rakyat Sabah,” katanya.

Sementara itu, menerusi kenyataan sama Bung Moktar memaklumkan beliau bersama sebahagian besar Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri UMNO Sabah tidak dapat menghadirkan diri ke Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Sabah Yang Ke-16, hari ini, berikutan perlu berlepas ke Kuala Lumpur untuk menghadiri Perhimpunan Agung UMNO.

“Bagaimanapun, saya dan semua Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri UMNO Sabah menyokong penuh Rang Undang-undang (RUU) Bekalan Gas 2023 yang akan dibentangkan,” katanya yang juga ADUN
Lamag.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI