fbpx

Suami isteri jadi tauke jual dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KAMARUL ZAMAN menunjukkan pelbagai jenis dadah bernilai RM362,022 yang berjaya dirampas dalam sidang akhbar di IPK Johor Bahru hari ini.-Foto RAJA JAAFAR ALI

JOHOR BAHRU – Sepasang suami isteri diberkas selepas disyaki menjadi dalang sindiket pengedaran pelbagai jenis dadah di sekitar negeri ini.

Kedua-dua suspek masing-masing berusia 34 dan 30 tahun itu diberkas pada pukul 6 petang dalam serbuan pertama di Taman Aman, Senai, Kulai di sini, Sabtu lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, susulan siasatan ke atas pasangan itu, pihaknya melakukan tiga siri serbuan lain di sekitar Taman Pulai Perdana, Iskandar Puteri dan Kulai.

Menurutnya, dalam empat siri serbuan itu pelbagai jenis dadah berjaya dirampas bernilai RM362,022.30.

“Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor melancarkan operasi khas dengan empat siri serbuan berasingan melibatkan Taman Pulai Perdana, Iskandar Puteri dan Taman Aman, Senai, Kulai.

“Dalam serbuan itu, seramai 13 suspek berusia antara 24 hingga 55 tahun termasuk sepasang suami isteri diberkas disyaki menjadi ‘mastermind’ kegiatan sindiket pengedaran dadah terbabit,”katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Kamarul Zaman berkata, antara dadah yang dirampas ialah 74.85 kilogram (kg) ketulan mampat dadah jenis ganja, heroin (9.29kg), ketamin (171 gram) serta 1,643 biji pil ekstasi.

Ujarnya, modus operandi yang digunakan sindiket ini adalah menjadi rumah teres serta kereta sebagai stor simpanan atau transit dadah yang disyaki diseludup dari utara tanah air sebelum diedarkan ke pasaran tempatan selain dieksport ke negara jiran berdekatan.

Menurutnya, sindiket ini juga disyaki menjalani kegiatan haram itu sejak Oktober tahun lalu.

“Selain dadah, pihak polis turut menyita tujuh buah kereta pelbagai jenama termasuk BMW, Honda, Volkswagen dan barang kemas,”katanya.

Kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula Ahad lalu hingga 14 Januari ini bagi membantu siasatan lanjut dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI