fbpx
Harga kereta terpakai melonjak selepas didakwa melibatkan campur tangan orang tengah. – Gambar hiasan

Nak cepat dapat kereta, beli yang terpakai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Kereta terpakai kini ibarat ‘pisang goreng panas’ apabila menjadi rebutan walaupun berlaku lonjakan harga ketika ini kerana pembeli tidak tahan menunggu lama untuk memiliki kenderaan baharu keluaran kilang.

Pemain industri memberitahu, kebanyakan pembeli mencari kereta yang jarak penggunaannya kurang 10,000 kilometer (km).

Pembeli memberi alasan pelanggan enggan menunggu lama bagi menempah kereta baharu yang memakan masa lebih empat bulan ketika ini.

Difahamkan, harga kereta terpakai Perodua Myvi 1.3 (Gen 3) dijual pada harga RM46,000 berbanding yang baharu iaitu RM48,040, Bezza 1.0 (RM35,880) berbanding RM37,844 (baharu), Axia Gxtra 1.0 (RM33,700) berbanding RM36,227 (baharu), Toyota Vios 1.5 (RM74,800) berbanding RM76,843 (baharu) dan Honda City RM76,800 berbanding RM78,600 (baharu).

Keadaan ini mengakibatkan kereta terpakai yang sebelum ini dianggap murah dan mampu milik kini tidak lagi dijual pada harga marhaen kerana ia semakin mahal setanding dengan kereta baharu di pasaran.

Seorang jurujual kereta terpakai, Aziz Abdullah, 56, berkata, terdapat perubahan lanskap dalam arena penjualan kereta terpakai ketika ini apabila orang tengah mula mengenakan harga tinggi kepada peniaga untuk menambah stok kereta terpakai.

“Pembeli tak tahan menunggu lama bagi mendapatkan kende­raan baharu dari kilang berban­ding dengan membeli kereta terpakai yang sudah ada di depan mata.

“Antara model yang mendapat permintaan tinggi di pasaran ialah Toyota Vios, Honda City, Perodua Myvi, Perodua Bezza dan Perodua Axia,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Penjualan kereta terpakai merekodkan lonjakan ketika ini selepas menjadi buruan pelanggan yang tidak mahu menunggu lama untuk beli kenderaan baharu.
– Gambar hiasan

Menurut Aziz, ketika ini permintaan melebihi penawaran sehingga kenderaan ‘model panas’ tersebut disambar pemilik baharu hanya dalam tempoh se­minggu selepas ia dipamerkan di premis kereta terpakai.

Tambahnya, keinginan membeli kereta terlalu kuat sehinggakan pelanggan jarang merungut mengenai harganya yang mahal walaupun berbeza RM2,000 de­ngan model baharu.

“Pelanggan suka kerana kereta dapat dalam tempoh singkat dan tidak perlu menunggu lama berbanding dengan yang baharu,” katanya.

Ujar Aziz, kualiti kereta terpakai yang dijual setanding dengan kereta baharu dan masih mempunyai aroma ‘kedai’ terutama yang masih di bawah 10,000 km jarak perjalanannya.

Sementara itu, seorang lagi jurujual kereta terpakai, Ariff Farhan, 35, berkata, situasi berubah selepas orang tengah mula memborong kereta terpakai sejak April lalu.

“Mereka membeli pada harga tinggi dan lebih RM2,000 daripada biasa yang diambil peniaga kereta terpakai.

“Bayangkan sebelum ini kita mampu jual hingga 50 buah kereta sebulan tetapi kini 20 sahaja bagi tempoh sama. Komisen juga susah nak dapat sebab jualan rendah,” katanya.

Ariff yang pengalaman lebih 11 tahun dalam industri itu menjelaskan, pihak yang mempu­nyai stok yang banyak dan tidak terjual pasti akan menjual pada harga di bawah pasaran.

“Ia akan mengganggu harga pasaran terutamanya peniaga kecil seperti saya, namun saya perlu usaha sebaik mungkin untuk adaptasi dengan situasi yang baharu ini secepat mungkin,” katanya.

Ujar Ariff, sebab lain berlaku kenaikan harga kereta terpakai ialah tindakan pemilik yang menjual kepada orang tengah dan bukannya kepada peniaga kereta terpakai.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN