fbpx

K2

Kemahiran 4K memacu kesejahteraan masyarakat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kemahiran kerjasama berkumpulan perlu dipupuk kepada masyarakat sejak usia kanak-kanak agar membiasakan mereka hidup bersatu padu. – GAMBAR HIASAN

SALAH satu matlamat utama sistem pendidikan adalah menyediakan pelajar untuk mengisi pekerjaan bagi tenaga kerja.

Tenaga kerja telah berkembang dengan pesat dalam beberapa dekad lalu berikutan kedatangan era digital yang merangkumi 4K iaitu kreativiti, kerjasama, komunikasi dan pemikiran kritis.

Kemahiran-kemahiran ini berfungsi seiring kemahiran berasaskan pengetahuan dan teknikal dalam usaha memupuk pembelajaran yang lebih mendalam agar melahirkan masyarakat berbilang kaum yang boleh hidup rukun damai di dalam sebuah negara majmuk.

Kemahiran berasaskan pengetahuan dan teknikal dirujuk sebagai ‘kemahiran keras’ yang biasa kita ajar dan uji di sekolah.

Set kemahiran lain yang merangkumi 4K itu pula dikenali sebagai kemahiran insaniah atau ‘lembut’. Ini merangkumi senarai panjang dan pelbagai kemahiran hidup penting, termasuk banyak aspek kecerdasan emosi dan sosial seseorang.

Walaupun dipanggil ‘lembut’, kemahiran tersebut sama pentingnya untuk dikuasai pelajar di sekolah mahupun universiti seiring kemahiran lain.

Salah satu kemahiran 4K iaitu pemikiran kritis sering digandingkan dengan penyelesaian masalah. Ia proses pemikiran lebih tinggi melibatkan penggunaan maklumat yang disampaikan, serta penilaian sebarang kesimpulan yang dibuat daripada maklumat tersebut.

Hal ini turut melibatkan keupayaan seseorang individu untuk menganalisis, mentafsir, menaakul dan mensintesis maklumat.

Kanak-kanak menunjukkan keupayaan membuat keputusan lebih baik apabila mereka mempunyai kemahiran berfikir kritis yang berkembang dengan baik.

Mereka lebih berupaya bukan sahaja menghasilkan penyelesaian tetapi untuk membandingkan atau menguji penyelesaian paling bersesuaian dengan masalah semasa dan situasi dirangka.

Di dalam sebuah negara berbilang kaum, pemikiran kritis atau kritikal amat diperlukan dalam membentuk masyarakat stabil di mana kelompok masyarakat dapat mendahulukan kepentingan umum berbanding kepentingan kelompok mereka sendiri.

Mereka yang mempunyai pemikiran yang kritis akan bijak mendahulukan kepentingan orang lain berbanding kepentingan peribadi. – GAMBAR HIASAN

Kreativiti pula ialah keupayaan sesebuah masyarakat untuk menjadi inovatif, inventif dan berfikir di luar kotak.

Kreativiti ini lebih daripada mencipta objek atau mesin konkrit baharu, sebaliknya meliputi keupayaan menjana idea, mereka bentuk proses baharu serta mereka bentuk semula yang lama.

Ia juga datang dengan cara unik bagi menyelesaikan masalah atau menambah baik sistem sedia ada.

Sama penting seperti pemikiran kritis, kreativiti seharusnya menjadi salah satu kata kunci dalam pendidikan dan pembangunan peradaban masyarakat.

Kanak-kanak secara semula jadi adalah kreatif tetapi ia akan luput jika mereka dihidangkan dengan ideologi sempit antara kaum atau agama.

Sebaliknya, kita perlu memberi peluang kepada mereka untuk mempraktikkan kemahiran kreatif tanpa sempadan dan mengurangkan fahaman pemisahan kaum dan juga agama.

Kemahiran bekerjasama ialah kemahiran kerja berpasukan. Kanak-kanak mesti belajar untuk berfungsi secara produktif sebagai ahli kumpulan, tanpa mengira peranan khusus mereka.

Mereka seharusnya didedahkan untuk mengambil alih peranan yang berbeza dalam kumpulan, tetapi mereka mesti belajar untuk bekerja secara berkesan dengan orang lain tidak kira kaum atau agama.

Masyarakat bermula pada peringkat anak-anak lagi harus melibatkan diri secara aktif dengan orang lain dalam kumpulan dan menyumbang secara bermakna sama ada dalam kelompok kaum mereka mahupun antara kaum.

Kemahiran komunikasi pula sebenarnya merujuk kepada komunikasi yang berkesan iaitu keupayaan untuk menerangkan idea atau menyampaikan pendapat mereka dengan cara yang jelas dan ringkas tanpa menyinggung perasaan kaum mahupun agama lain.

Ia juga memerlukan keupayaan untuk membuat pertimbangan terhadap kesahihan dan kaitan sumber maklumat yang ditemukan.

Ini adalah amat penting kerana kita hidup dalam sebuah negara berbilang kaum dan perlu menghormati antara satu sama lain.

Setiap agama sentiasa menyeru pengikutnya agar bersikap kasih sayang, berbaik sangka, tolong-menolong, bersatu-padu, bertolak ansur dan sentiasa bersedia memaafkan.

Nilai-nilai ini perlu dikukuhkan kerana ia diumpamakan seperti anggota tubuh badan kita yang saling memerlukan. Namun demikian, realitinya sekarang ini, semua nilai-nilai murni itu kurang diambil perhatian.

Semoga satu anjakan kerangka pendidikan nasional dapat direalisasikan oleh Menteri Pendidikan Malaysia yang baharu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI