fbpx

Simpan kenangan tahun lalu, langkah bergaya ke tahun baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEHADIRAN tahun 2023 diharap memberi lebih banyak kejayaan buat arena sukan negara.

TAHUN baharu, azam baharu. Itulah lazimnya disemat segelintir individu dalam diri masing-masing setiap kali menempuhi 1 Januari. Ia membawa maksud mahu memperbaiki atau menetapkan diri agar menjadi lebih baik, positif dan mencapai sasaran secara holistik.

Bukan semua manusia di muka bumi mempunyai sikap menyemai azam setiap kali tahun baharu, namun golongan ini mungkin ada sebab sendiri atau tidak kisah tentang apa yang berlaku di sekeliling. Jadi, mereka ini boleh diabaikan kerana ia tidak membawa kesan positif kepada diri.

Pada penulis, tahun baharu memberi erti manusia di seluruh dunia diberi peluang sekali lagi untuk menikmati tahun yang menggembirakan, menggalas segala cabaran dan berdaya saing dalam dunia penuh pancaroba. Dengan adanya keazaman, kehidupan akan menjadi lebih bermakna.

Sama ada masa itu terlalu pantas atau sebaliknya, pejam celik sudah pun berada di tahun 2023. Pasti semua mahu mendambakan perjalanan hidup pada tahun baharu langkah kanan dalam usaha untuk mencapai sasaran azam yang dilaungkan pada tahun ditinggalkan 2022. Pahit jadi pengajaran, manis disimpan sebagai kenangan.

Rasminya, tahun 2022 sudah boleh diibaratkan sebagai cermin pandang belakang dengan harapan tahun 2023 akan ada berlaku peningkatan besar menerusi azam-azam yang disematkan dalam mencipta tahun lebih baik.

Dalam pada itu, penulis mahu melihat perspektif sukan pada tahun baharu, paling awal yang akan beraksi adalah skuad Harimau Malaya menentang Singapura pada saingan peringkat Kumpulan B, Piala AFF di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini.

Sudah pasti seluruh rakyat Malaysia mahu menyaksikan pasukan bimbingan ketua jurulatih berasal dari Korea Selatan, Kim Pan-gon berjaya menewaskan skuad Kallang Lions yang dikendalikan oleh jurulatih Jepun, Takayuki Nishigaya, sekali gus melangkah ke pentas separuh akhir.

Permainan Singapura amat sukar diramal, apatah lagi mampu mengikat Vietnam 0-0 pada aksi terakhir di Stadium Jalan Besar, sedangkan Harimau Malaya mudah dibenam skuad Naga Emas bimbingan Park Hang-seo di Stadium My Dinh, Hanoi minggu lepas.

Ketika ini, Malaysia berada di kedudukan ketiga Kumpulan B dengan Vietnam di puncak diikuti Singapura di tempat kedua. Sekiranya menang, skuad kebangsaan langkah kanan ke separuh akhir, namun jika kalah, maka ‘selamat tinggal Piala AFF’. Oleh sebab itu. misi wajib menang digalas Harimau Malaya malam ini.

Selain bola sepak, sukan badminton menerusi Terbuka Malaysia turut tampil beraksi bulan ini bermula 10 sehingga 15 Januari. Pentas bagi anak-anak Malaysia mempamerkan bakat luar biasa masing-masing untuk meraih langkah kanan menjulang gelaran juara yang kali terakhir dimenangi Datuk Lee Chong Wei pada 2018.

Sukan hoki turut berlangsung bulan ini melibatkan skuad Malaysian Tigers yang bersaing pada Piala Dunia Lelaki 2023 di Buhbaneswar dan Rourkela, India bermula 13 sehingga 19 Januari ini.
Justeru, penulis melahirkan harapan agar sukan negara akan bermula dengan langkah kanan, sekali gus menjulang nama negara di pentas antarabangsa. Selamat berjuang wira-wira negara!

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI