RADHI dan ‘sidai’ peminat berpisah tiada. Demikian antara respons sesetengah penonton usai menyaksikan persembahan mega kumpulan OAG sempena ulang tahun ke-30 mereka dalam industri, Ahad tempoh hari.
Konsert yang sepatutnya berlangsung tepat pukul 9 malam, terheret ke hampir pukul 10 malam selepas kelibat kumpulan itu, terutama Radhi tidak menampakkan batang hidung.
Seramai 4,000 peminat yang mula membanjiri ruang Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor seawal pukul 8 malam gelisah dan mula ‘berbunyi’ menantikan kemunculan OAG di atas pentas.
Selepas agak lama menunggu dan jam menunjukkan sekitar hampir 10 malam, barulah kelibat Radhi, 45, keluar dari belakang pentas berbaju putih lengan panjang dan berkaca mata hitam.

Setibanya di atas pentas, dia tidak terus memulakan persembahan, sebaliknya berceloteh dan sesekali diselitkan dengan aksi melempar hadiah kepada peminat di hadapan pentas.
Barangkali itu caranya untuk mengambil hati peminat selepas ‘menyidai’ mereka hampir sejam.
Sebetulnya, penyataan itu bukan tanggapan sendiri tetapi menerusi media sosial khususnya Twitter, ada peminat yang menyuarakan perkara tersebut.
Apatah lagi, penganjuran konsert tersebut sempena ulang tahun ke-30 OAG dalam industri, maka perkara-perkara penting seperti ketepatan waktu harus diletakkan paling atas.
Ulasan konsert yang sepatutnya memfokuskan tentang persembahan sedikit ke bawah dek berlakunya hal tersebut. Cukup setakat itu sahaja, selebihnya peminat yang hadir pada malam konsert tahu situasi menyeluruh.

Gamit memori
Membuka tirai persembahan menerusi lagu Beautifool, Radhi tetap menyuntik suasana rancak dengan mengajak penonton sama-sama melompat mengikut rentak lagu sebelum membawa beberapa buah karya hit lain seperti Horrible Adorable, Dayang, Figura Malaya, Don’t Look Back in Anger, Name of The Game dan Venusia.
Setiap kali menyelesaikan sesebuah lagu, Radhi banyak bicara bersama peminat, mengajak mereka berbual dan paling utama kerap kali melakukan kerja dakwah kecil di atas pentas.
Mengajak berselawat, menyebut dan mengingati Allah, antara perkara positif dilakukan Radhi berselang-seli dengan persembahan.
“Only Allah Greatest, OAG,” kata Radhi berulang kali.
Bagi peminat yang mengikuti perjalanan karier OAG sejak 1992, lagu-lagu yang disampaikan pada malam konsert benar-benar menggamit memori, sekali gus membuatkan mereka pulang dengan hati yang puas.
Ada banyak lagu yang dimasukkan dalam senarai, sesuai dengan perjalanan konsert sebagai mengenang dan menyambut ulang tahun ke-30 dalam industri. Jadi, seleksi yang dihidangkan haruslah terbaik.
Mengemudi persembahan dengan banyak lagi lagu yang mengajak peminat turut sama menari, Radhi memukau khalayak dengan deretan lagu hit seperti Slumber, Knocked Silly, Spastic Youth dan Konspirasi.

suasana konsert.
Pentas penyatuan
Memasuki slot kedua persembahan, OAG tampil dengan persembahan akustik sehinggakan sesekali tenaga Radhi sedikit ‘pancit’, namun kehangatan tidak surut.
Berjalan rancak dengan seleksi lagu bertenaga, Radhi melempiaskan adrenalin energetik pada malam Konsert OAG 30 Tahun yang menghampiri minit akhir dengan lagu popular mereka, 60’s TV dan Senyuman Ragamu.
Jam menunjukkan pukul 12 malam, kumpulan yang menyatu kembali bersama bekas-bekas ahli lama di atas pentas konsert tempoh hari menutup persembahan dengan lagu Generasiku.
Bukan sekadar menyajikan persembahan menarik, namun OAG memberi peluang buat peminat menyaksikan penyatuan semula mereka.
Qi Razali, seorang ahli popular dalam kumpulan itu juga beberapa kali tampil ke hadapan pentas apabila memberi hadiah kepada peminat, selain mencampakkan drumstick miliknya kepada penonton di bawah pentas.
Ibarat rutin resmi bagi artis rock yang selalu melempar barangan peribadi kepada peminat, OAG juga begitu, menghargai penggemar dan penyokong setia dengan hadiah-hadiah menarik.
30 tahun lamanya OAG bertapak dalam industri seni tanah air, sepanjang tempoh itu juga menyaksikan keluar masuk ahli yang bersilih ganti.
Tolak ke tepi soal keahlian, hakikatnya karier dan muzik OAG kekal sebati dalam jiwa penggemar setia mereka. Tempoh 30 tahun mengenang karier OAG, satu perjalanan panjang yang luar biasa.
Biarpun ada beberapa bahagian yang sedikit lompong dan kurang kemas terutama dari segi teknikal, namun Konsert OAG 30 Tahun Generasiku berjalan lancar dan peminat pulang dengan hati yang puas.

















