fbpx
MEERQEEN

Pasca ledakan 2022, prioriti Meerqeen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TAHUN emas Meerqeen. Barangkali itu ungkapan paling sesuai diberikan kepada pemilik nama penuh Muhammad Shameer Shauqeen Shaiful Izam. Sengaja hero kecintaan ramai wanita itu dipilih sebagai penghias wajah Pose edisi pertama 2023.

Alasannya, satu sebagai signifikan pencapaian sepanjang tahun, keduanya, penghargaan kepada pembaca setia Kosmo! Ahad yang sekali gus mengikuti perjalanan Meerqeen. Sesuatu yang menarik, disebabkan kepadatan jadual kerja, aktor tinggi lampai harus ‘dibooking’ seawal dua bulan bagi memastikan keberadaannya untuk sesi fotografi ini.

Hadir dengan pakej fizikal, bakat yang masih banyak ruang untuk dipertingkat dan segunung tuah tidak terbekal bagi semua orang, Meerqeen tidak lagi berpaling.

Foto: FARIZWAN HASBULLAH
Solekan: Elmanda Zuhairy (Instagram @elmandazuhairy)
Tatarias: Azrul Samzard (Instagram @azrulsamzard)

Kerjaya seni jejaka berketinggian 178 sentimeter itu terus meluncur maju ke hadapan sehingga mampu terbang ke negara seberang, Indonesia.

Fasa kerjaya bekas finalis Hero Remaja 2009/2010 itu boleh dikatakan ‘kencang’ sepanjang tahun lalu.

Fenomena Meerqeen tercetus selepas drama Melur Untuk Firdaus lakonan bersama Anna Jobling meledak dalam media sosial khususnya TikTok yang tiada sesiapa pun menjangkakannya.

Meerqeen bersyukur dan akan terus berlari mengejar setiap impian yang ditanamnya sejak mula bergelar pelaku seni sekitar tahun 2019.
Demikian yang berulang kali diungkapkan aktor berusia 22 tahun itu tatkala ditanya tentang perasaannya mengenai momentum kerjaya pada tahun ini.

IMPIAN. Meerqeen turut memasang impian untuk berlakon dalam filem atau drama genre aksi dan lari daripada kebiasaan tema percintaan lakonannya.

Belum puas, kerja keras

“Ini semua rezeki yang tidak disangka-sangka, ibarat durian runtuh.

“Ledakan populariti ini sekali gus membuktikan kehadiran saya sebagai anak seni diterima baik. Itu sudah cukup untuk melegakan hati ketika ini,” katanya.

Perasaan puas tidak pernah wujud dalam kamus hidupnya ketika ini meskipun nama berada di puncak kerjaya.

Sebagai anak seni yang baru bertatih, tahun 2022 dilihat sebagai pencetus semangat untuknya memeriahkan lagi kerjaya seni pada 2023.

“Saya tak akan sesekali berasa selesa dengan populariti hari ini. Masih jauh lagi perjalanan sebagai seorang anak seni. Jika lalai, semua yang dimiliki hari ini boleh hilang begitu sahaja.

“Selain itu, perlu diakui bahawa drama Melur Untuk Firdaus memberi impak yang sangat hebat, terutama dalam media sosial.

“Ternyata kuasa viral berjaya melonjakkan semuanya dalam sekelip mata dan paling tidak percaya, nama saya dikenali sehingga ke Indonesia yang umum tahu memang sukar nak tembusi pasaran di sana,” ujarnya.

PERHATIAN. Biarpun sering menjadi sasaran dan harus berdepan spekulasi hubungan percintaan dengan pelakon Anna Jobling, Meerqeen cuba bertenang dan memujuk hati agar tidak berasa rimas dengan perkara tersebut.

Selektif

Bukan besar kepala, anak kelahiran Ampang, Selangor itu menjelaskan dia juga tidak terlepas daripada menjadi pelakon yang selektif dalam menerima sebarang tawaran lakonan.

Meerqeen bertegas, dia bukanlah individu cerewet dalam menerima sebarang watak, namun prioriti akan diberikan kepada sesuatu yang belum pernah dilakukan.

“Jika tanya pelakon lain, mereka pun akan selektif dalam menerima produk baru tetapi saya tidak terlalu cerewet untuk memilih.

“Sekiranya ada naskhah yang berbeza dan belum pernah dibawa, itu akan menjadi keutamaan, namun beberapa faktor lain biasanya menjadi kekangan contohnya jadual kerja bertindih,” ujarnya lagi.

AZAM 2023. Meerqeen berjanji akan terus memberikan yang terbaik dalam setiap langkahnya sebagai anak seni.

Jadi perhatian

Lumrah saat bergelar selebriti, pelakon drama Angkara Cinta itu turut tidak terlepas daripada lensa kamera netizen termasuk menjadi bahan kecaman ramai.

“Benar, setiap perkara dilakukan menjadi perhatian ramai dan itu situasi yang sedang saya lalui, namun menganggapnya sebagai lumrah dunia hiburan.

“Setiap kali nama jadi bualan, saya anggap mereka ambil berat, namun selagi tidak menganggu privasi keluarga dan hal peribadi, saya okey sahaja untuk semua ini. Syukurlah peminat amat memahami perkara berkenaan.

“Bagi saya, tiada hal yang merimaskan selagi semuanya tidak berlebihan termasuk berkaitan ‘hubungan’ istimewa dengan Anna Jobling” katanya mengakhiri perbualan.

MEERQEEN enggan berasa selesa dengan populariti yang dimiliki hari ini.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN