KULIM – Seorang ibu tunggal sanggup membawa anak lelakinya berusia sembilan tahun untuk menginap di sebuah hotel di sini bersama teman lelaki sempena sambutan tahun baharu.
Namun, kegembiraan wanita berusia 32 tahun dan pasangannya berusia 22 tahun itu berakhir apabila bilik hotel diserbu penguat kuasa Pejabat Agama Daerah Kulim kira-kira pukul 1.35 pagi tadi.
Pegawai Penguat Kuasa Agama Daerah Kulim, Azwan Ahmad berkata, pemeriksaan ke atas hotel tersebut dibuat berdasarkan maklumat orang awam.
Katanya, ketika pemeriksaan dilakukan, seorang lelaki berpakaian lengkap membuka pintu bilik lalu kami memperkenalkan diri.
“Pemeriksaan lanjut di dalam bilik menemui seorang wanita berpakaian lengkap bersama seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun.
“Pasangan terbabit pada mulanya mengaku sudah bertunang, namun akhirnya mengaku mereka merancang akan bertunang selepas hari raya tahun ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurutnya, pasangan terbabit bekerja sebagai operator pengeluaran dengan wanita bekerja di Perai,Pulau Pinang manakala teman lelakinya di Selayang, Selangor. – KOSMO! ONLINE














