fbpx

Polis masih tunggu laporan forensik kandungan bahan letupan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan kereta mangsa dan sisa bahan dipercayai hasil daripada letupan tersebut. FOTO IHSAN PDRM

SHAH ALAM – Polis Selangor masih menunggu laporan forensik berhubung kandungan bahan letupan yang menyebabkan seorang tukang masak maut dalam kejadian berhampiran sebuah restoran di Jalan Pandan Indah 12/1, Pandan Indah, dekat sini, malam tadi.

Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk S. Sasikala Devi berkata, setakat ini siasatan masih dijalankan dari semua aspek berhubung kes tersebut.

“Itu tidak pasti lagi daripada kita masih menjalankan siasatan.

“Berhubung kandungan letupan, belum dapat apa-apa lagi dan masih menunggu laporan forensik,” katanya selepas majlis serah terima tugas  Ketua Polis Selangor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor itu disaksikan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Hazani Ghazali.

Pada majlis tersebut Sasikala Devi dilantik sebagai pemangku Ketua Polis Selangor berkuat kuasa hari ini.

Beliau mengambil alih tugas berkenaan daripada Datuk Arjunaidi Mohamed yang akan bersara wajib mulai 2 Januari depan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya juga masih mengesan suspek yang terlibat dalam kejadian itu.

Ketika ditanya sama ada bahan letupan itu adalah buatan sendiri seperti tular di media sosial, Sasikala menegaskan perkara itu juga masih dalam siasatan polis.

Terdahulu tular media sosial berhubung bahan letupan yang dikaitkan dengan teknik atau kaedah klasik pembunuhan jarak jauh yang biasanya menggunakan ‘pressure plate’.

Kosmo! Online terdahulu melaporkan seorang tukang masak meninggal dunia akibat parah di bahagian badan dan tangan selepas memegang bungkusan yang ditinggalkan di atas bonet sebuah kereta yang meletup berhampiran sebuah restoran di Pandan Indah, malam tadi. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI