fbpx
Seni ini mampu membuatkan seseorang itu fokus dan tenang sekali gus menghindari masalah mental.

Seni faset berlian buat diri lebih fokus, tenang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

RASA resah yang adakala muncul ketika dia sedang menjalani rawatan kanser membuatkan Janice Lew memilih untuk melakukan aktiviti menenangkan bagi mengisi masa lapang.

Selepas diperkenalkan dengan seni faset berlian (diamond facet art), Janice kemudiannya tertarik dengan aktiviti terapeutik itu yang membantu dirinya berasa lebih tenang sepanjang menjalani tempoh rawatan.

“Selepas mendapat tahu tentang seni menyusun atur butiran berlian di atas sekeping gambar yang sudah siap dicetak bagi menjadikan gambar lebih berkilau ini beberapa tahun lalu, saya cukup tertarik dengannya.

“Hal ini kerana setiap kali saya melakukan aktiviti itu, ia menjadikan saya lebih tenang dan fokus, sekali gus mengurangkan rasa resah yang dialami,” ujar Janice kepada K2.

Sehingga kini, biarpun sudah bebas kanser, Janice masih mencuri masa untuk melakukan aktiviti seni faset berlian itu.

Memang sukar untuk tidak jatuh cinta pada sekeping foto yang sudah siap disusun dengan butiran berlian di atasnya kerana kilauan terhasil daripada berlian bersegi itu menjadikan lukisan itu tampak mewah dan cukup sesuai untuk dijadikan sebagai item dekorasi.

Seni faset berlian atau disebut juga ‘lukisan berlian’ adalah merujuk kepada proses seni tampalan menggunakan butiran-butiran manik menyerupai berlian atau permata resin kecil.

Minat yang mendalam terhadap seni terapeutik itu juga mendorong seorang wanita, Lisa Lee untuk memperkenalkan label seni berliannya sendiri dikenali sebagai Diamond Dotz, seterusnya melancarkan gedung konsep pertamanya di dunia bertempat di pusat beli-belah Pavilion Bukit Jalil, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Biarpun Diamond Dotz berasal dari Australia, Lisa bagaimanapun memilih Kuala Lumpur sebagai lokasi pertama bagi pembukaan gedung konsep tersebut memandangkan dia dilahirkan di Pulau Pinang.

Menurut Lisa, seni faset berlian melibatkan lukisan yang kemudiannya ditampal dengan butiran berlian diperbuat daripada permata resin kecil.

Di atas permukaan lukisan itu, terdapat gam yang dilekatkan di atasnya bagi membolehkan butiran permata itu ditampal dengan elok.

Gam yang digunakan juga cukup kuat dan bermutu tinggi, menjadikan butiran-butiran berlian itu tidak akan tertanggal biarpun ‘lukisan’ tersebut terjatuh ke lantai atau pun digulung untuk disimpan.

“Kami di Diamond Dotz turut mempunyai 26 orang individu dipanggil juruteknik yang membantu mengubah foto biasa kepada seni ini.

“Menariknya, orang ramai boleh menghantar apa saja foto milik mereka seperti foto kucing peliharaan untuk ditukarkan menjadi satu seni berlian faset,” ujarnya.

Setiap satu kit seni berlian facet didatangkan bersama sekeping lukisan, berlian resin kecil pelbagai warna dan juga alat kecil menyerupai sebatang pen yang digunakan bagi menampal berlian-berlian tersebut mengikut warna dan kod nombor yang betul.

Setiap kit Diamond Dotz didatangkan dalam pelbagai saiz dan boleh dibeli pada harga bermula RM39.

Menurut Lisa, aktiviti seni ini juga boleh dibuat ketika menonton televisyen atau sebarang aktiviti harian lain. Adakalanya, mereka akan begitu ralit dan ‘terbuai’ dengan aktiviti tersebut sehingga tidak sedar masa yang berlalu pantas.

“Ramai pelanggan berkongsi bahawa tahu-tahu sahaja, mereka sudah pun menghabiskan masa selama beberapa jam menyusun Diamond Dotz,” ujarnya.

Menurut Lisa, proses menyusun atur berlian itu cukup mudah dan kanak-kanak seawal usia tiga tahun sudah boleh melakukannya.

Produk akhir seni faset berlian yang telah siap dihasilkan, boleh dibingkaikan untuk dijadikan item dekorasi di mana-mana sudut kediaman selain boleh dihadiahkan kepada seseorang.

Biarpun boleh dilakukan semua lapisan umur, Lisa berharap agar kraf itu mampu menarik minat kanak-kanak.

“Kanak-kanak zaman sekarang begitu obses terhadap gajet dan saya sejujurnya tidak menyalahkan mereka memandangkan ini zaman digital.

“Namun, saya mahu mengajak ibu bapa untuk memperkenalkan aktiviti sebegini bersama anak-anak sebagai satu bentuk terapi menenangkan kepada mereka,” ujarnya.

Melihat sambutan menggalakkan terhadap seni terutama ketika pandemik Covid-19 menjadikan Lisa teruja kerana ramai mulai sedar kepentingan seni terhadap kesihatan mental seseorang.

“Sebagai seorang penyokong seni, saya teruja melihat semakin ramai yang menyedari kelebihan seni dan hasil kraf terhadap kesihatan mental.

“Justeru, saya harap lebih ramai lagi yang akan kenal seni faset berlian dan tertarik untuk mencubanya,” katanya.

Mengimbau kembali, Lisa berkata dia jatuh cinta dengan seni unik itu kerana mendapati secara peribadinya, ia berkesan dalam menjadikan dirinya lebih tenang dan tenteram.

“Saya merupakan penderita anxiety atau keresahan dan secara peribadinya, saya mendapati aktiviti ini mampu menenangkan diri saya kerana prosesnya yang perlahan dan memerlukan fokus yang tinggi.

“Selepas siap disusun, hasil akhir yang cantik dan siap dibingkai menjadikan ramai yang berhasrat untuk membelinya.

“Begitu pun, saya tidak menjual produk akhir sahaja kerana bagi saya, anda perlu mencuba sendiri aktiviti ini bagi merasai serta memahami kesannya kepada kesihatan mental anda.

“Tak kira berapa lama proses diambil untuk menyiapkan sesuatu lukisan itu, ia tetap menenangkan,” ujarnya.

Tambahnya, produk akhir seni itu boleh dibingkaikan dan dijadikan item dekorasi di mana-mana sudut kediaman atau dijadikan hadiah kepada seseorang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN