fbpx

Kerana cermin mata, lelaki dijel 6 bulan, denda RM7,500

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tertuduh ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Melaka hari ini.

MELAKA – Gara-gara mencuri sepasang cermin mata berjenama, seorang operator kilang terpaksa meringkuk di dalam penjara selama enam bulan dan diperintahkan membayar denda sebanyak RM7,500 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret Nabilah Nizam menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Mohd. Ezry Azhari, 37, yang mengaku bersalah sejurus empat pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didapati dengan niat curang telah mencuri sepasang cermin mata berjenama Rayban bernilai RM1,017 kepunyaan sebuah kedai cermin mata di pusat beli-belah di Aeon Bandaraya Melaka, dalam daerah Melaka Tengah.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh kira-kira pukul 6.30 petang pada 11 Disember lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh diddakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua didapati telah menyebabkan kecederaan kepada seorang pengawal keselamatan, Abdul Rahman Hadzri, 32, dengan melakukan suatu perbuatan cuai sehingga membahayakan nyawa manusia dengan melanggar menggunakan motokar.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 337 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM1,000 atau kedua-duanya.

Tertuduh turut didakwa menyebabkan kecederaan parah kepada Kamarul Latiff Mat Sap, 30, yang juga pengawal keselamatan dan didakwa mengikut Seksyen 338 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan tertuduh pada pukul 7.19 petang di kawasan parkir di pusat beli-belah sama.

Bagi pertuduhan keempat, tertuduh didapati telah melakukan khianat melanggar palang besi automatik sehingga mengakibatkan kerugian dianggarkan bernilai RM388 dan didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara 15 hari penjara dan denda RM2,500 atau enam bulan penjara jika gagal bayar bagi pertuduhan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Tertuduh turut dikenakan hukuman lima bulan dan enam bulan penjara bagi kesalahan di bawah Seksyen 337 Kanun Keseksaan dan Seksyen 338 kanun sama manakala denda RM5,000 atau enam bulan penjara jika gagal bayar bagi kesalahan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI