fbpx

Takwin sesi persekolahan akan kembali kepada Januari – Menteri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

NIBONG TEBAL – Kementerian Pendidikan (KPM) komited memastikan takwim sesi persekolahan yang dianjak kepada Mac sejak tahun lepas akan dikembalikan semula kepada jadual asal iaitu Januari tidak lama lagi.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, ibu bapa tidak perlu bimbang kerana kementerian sedang berusaha ke arah itu, namun terdapat beberapa isu yang perlu diselesaikan terlebih dahulu.

“Kita akan balik ke Januari, jangan risau kerana saya tahu ramai ibu bapa tertunggu-tunggu dan meminta kementerian untuk kembalikan permulaan sesi persekolahan seperti biasa.

“Walau bagaimanapun, ia tidak dapat dilaksanakan tahun depan kerana kalendar akademik beserta justifikasi telahpun dikeluarkan.

“Sebagai contoh, jumlah hari bersekolah seperti yang termaktub dalam Akta Pendidikan 1996 hendaklah tidak kurang daripada 190 hari.

“Selain itu, kita turut perlu mengambil kira takwim bagi sekolah-sekolah di negeri Kumpulan A dan B.

“Kita bimbang akan berlaku kacau ganggu terhadap proses pendidikan anak-anak selain mengambil kira peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM), Sijil Pelajaran Tinggi Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) yang akan berlangsung,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada KPM akan menjadualkan semula sesi persekolahan pada Januari nanti.

Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal meluangkan masa lebih tiga jam bagi mendengar permasalahan rakyat di kawasannya membabitkan pelbagai isu untuk perhatian di Pusat Khidmat Rakyat di sini, hari ini.

Terdahulu, KPM menetapkan sesi akademik persekolahan tahun 2023 dan 2024 bermula Mac kerana mahu memberi ruang yang cukup kepada murid dan pelajar melalui proses pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka selepas tertangguh ekoran penularan Covid-19. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI