fbpx

Komplikasi muka herot boleh menyebabkan buta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara tanda-tanda seseorang mengalami muka herot atau facial nerve palsy ialah muka senget dengan mata dan mulut tidak simetri serta mata tidak dapat ditutup rapat.

PERUBAHAN kepada simetri muka atau disebut sebagai facial nerve palsy merupakan antara masalah kesihatan yang kini semakin kerap berlaku dalam kalangan masyarakat.

Kes terkini, misalnya melibatkan penyanyi antarabangsa, Justin Bieber yang terpaksa membatalkan konsertnya kerana mengalami masalah herot muka akibat sindrom Ramsay Hunt membuatkan ramai yang semakin khuatir berdepan masalah tersebut.

Facial nerve palsy berlaku apabila terjadi pembengkakan pada saraf muka (saraf kranial ketujuh) dan ia boleh disebabkan oleh beberapa masalah kesihatan.

Menurut Pakar Perunding Perubatan Keluarga, Jabatan Perubatan Keluarga, Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Rashidi Mohamed Pakri Mohamed, kajian telah menunjukkan jangkitan virus seperti virus herpes simplex, herpes zoster, coxsackievirus, cytomegalovirus, adenovirus dan epstein barr virus boleh menyebabkan pembengkakan kepada saraf kranial ketujuh itu.

“Selain daripada jangkitan virus, ia juga boleh berlaku akibat masalah kesihatan lain seperti diabetes mellitus (kencing manis), strok atau angin ahmar dan ketumbuhan di bahagian dalam kepala (cranium) seperti Schwannoma.

“Ia juga lazim terjadi akibat Bell’s palsy, selain turut berlaku akibat sindrom Ramsay Hunt. Sindrom Ramsay Hunt adalah komplikasi daripada jangkitan virus varicella zoster pada saraf kranial ketujuh. Tanda-tanda Ramsay Hunt termasuk ruam di bahagian telinga, sakit telinga dan pening,” katanya.

Bell’s palsy mirip Ramsay Hunt cuma Bell’s palsy yang merupakan masalah herot muka secara tiba-tiba setelah mengalami demam dan kesakitan di belakang telinga itu terjadi tanpa ruam.

Kongsi Dr. Rashidi, Bell’s palsy terjadi pada individu berumur di antara 10 hingga 40 tahun dan ia boleh berlaku dalam kalangan lelaki dan wanita.

Antara tanda-tanda mengalami facial nerve palsy termasuk muka herot atau senget sebelah terutama mata dan mulut yang tidak simetri, mata tidak dapat ditutup dengan rapat, tidak dapat mengawal kerutan otot, bibir mulut tidak dapat ditutup rapat sehingga menyebabkan air liur meleleh dan mata serta mulut terasa kering.

“Selain daripada itu, seseorang juga akan hilang upaya merasa di bahagian depan lidah, sensitif bunyi kuat, pening kepala, pertuturan kurang jelas dan kepayahan makan serta minum.

“Pesakit yang mengalami Bell’s palsy tidak semestinya mempunyai simptom-simptom awal sebelum ia berlaku sehinggakan ada dalam kalangan pesakit yang tidak mengalami sebarang gejala sebelum tidur, tetapi mendapati mukanya herot apabila bangun dari tidur,” ujarnya.

Masalah muka herot akibat jangkitan memerlukan rawatan segera selain menjalani proses fioterapi seperti urutan untuk mendapatkan fungsi otot muka optimum. – GAMBAR HIASAN

Jelasnya lagi, secara amnya, facial nerve palsy akibat Bell’s palsy boleh kembali pulih sepenuhnya tanpa sebarang rawatan.

Pun begitu, sekiranya memerlukan rawatan, tempoh rawatan mengambil masa 14 hari hingga enam bulan.

“Facial nerve palsy akibat sebab-sebab lain seperti ketumbuhan atau jangkitan memerlukan rawatan spesifik.

“Ubat seperti Corticosteroid contohnya Prednisolone juga dapat membantu mengurangkan keradangan dan bengkak saraf kranial yang terjejas.

“Bagaimanapun, rawatan dengan peggunaan steroid perlu dimulakan dengan segera supaya lebih berkesan,” kongsinya.

Jelasnya lagi, bagi pesakit yang mengalami strok pula, rawatan yang diberikan termasuk mengawal penyakit komobid seperti kencing manis dan darah tinggi serta rawatan untuk mengelakkan komplikasi akibat strok.

Tambahnya, sesi fisioterapi seperti urutan dan senaman muka adalah sangat digalakkan bagi mendapatkan fungsi otot muka yang optimum.

Sementara itu, komplikasi akibat facial nerve palsy yang tidak dirawat boleh menyebabkan wajah cacat, gangguan psikologi, kesakitan kronik, dan pemulihan yang lambat.

“Selain daripada itu, pesakit juga boleh mengalami synkinesis iaitu pergerakan di bahagian muka secara tidak disengajakan apabila seseorang itu mengunyah atau minum.

“Pesakit juga boleh alami kekeringan di bahagian mata dan jika tidak dirawat dengan segera, ia boleh menyebabkan ulser di bahagian kornea, jangkitan mata dan kebutaan,” jelasnya lagi.
Berkongsi senaman yang boleh dilakukan, Dr. Rashidi memberitahu terdapat beberapa senaman untuk menguatkan otot di muka.

“Senaman muka boleh dilakukan empat atau lima kali sehari. Adalah lebih baik sekiranya senaman ini dilakukan di hadapan cermin. Pesakit digalakkan untuk melakukan senaman secara sederhana dengan menggerakkan muka secara semula jadi,” hurainya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI