fbpx

Bot Rohingya hanyut sejak November, ramai dikhuatiri maut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pelarian Rohingya duduk di atas sebuah bot kayu ketika pegawai Indonesia menyelamatkan mereka di sebuah pelabuhan di Lhokseumawe, Aceh pada 31 Disember 2021. – Getty Images

NEW DELHI – Sebilangan besar pelarian Rohingya dikhuatiri mati di laut, lebih tiga minggu selepas bot dinaiki mereka terkandas di luar pantai India dengan sekurang-kurangnya 160 penumpang berdepan kelaparan, demikian menurut ahli keluarga dan agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Stesen penyiaran CNN melaporkan bahawa  seorang keluarga pelarian yang berada di atas bot tersebut, Rezuwan Khan berkata, dua kanak-kanak dan seorang wanita meninggal dunia selain penumpang yang masih hidup tidak mempunyai air, makanan atau ubat.

“Kami amat bimbang dan mahu mereka diselamatkan. Semakin sukar untuk mereka terselamat,” kata Rezuwan sambil menambah,  kali terakhir dia bercakap dengan kapten bot itu  adalah pada Ahad lalu.

Bot yang membawa semua pelarian itu kini berada berhampiran dengan wilayah India di Kepulauan Andaman dan Nicobar  di Teluk Bengal. Ia dilaporkan hanyut sejak akhir November lalu apabila enjinnya gagal berfungsi.

Ketika itu, bot tersebut difahamkan  sedang menuju ke Malaysia dari Bangladesh, di mana sekitar satu juta pelarian Rohingya berlindung di beberapa kem pelarian selepas melarikan diri dari Myanmar.

Jurucakap Asia Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa -Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), Babar Baloch berkata, terdapat beberapa laporan tidak disahkan menyatakan bahawa sekurang-kurangnya 20 orang telah meninggal dunia ketika dalam perjalanan.

Beliau turut menggesa kerajaan India dan Sri Lanka untuk membantu menyelamatkan semua pelarian di atas bot.

“Tindakan segera perlu diambil untuk menyelamatkan nyawa dan mencegah lebih banyak kematian. 

“Kami mengulangi amaran bahawa kegagalan negara-negara untuk bertindak menyelamatkan mereka akan menyebabkan lebih banyak tragedi dan kesengsaraan manusia berlaku setiap hari,” katanya.

Rayuan itu dikeluarkan beberapa hari selepas Tentera Laut Sri Lanka menyelamatkan sebuah bot yang membawa 104 pelarian Rohingya.

Tambah Baloch, PBB percaya kira-kira 2,000 pelarian Rohingya telah mengambil risiko dengan melarikan diri menggunakan jalan laut pada tahun ini sahaja.

Kebanyakan mereka melarikan diri dari kem-kem pelarian yang sesak di Cox’s Bazar, Bangladesh, di mana keadaan di situ amat teruk dan kaum wanita berisiko dengan serangan seksual serta keganasan. – Agensi 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI