fbpx

Tukang tilik didakwa tipu pegawai LHDN lebih RM500,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Prakash (depan) ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam hari ini.

SEBERANG PERAI – Seorang tukang tilik warga India mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam di sini kerana menipu seorang kakitangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) hingga menyebabkan mangsa mengalami kerugian lebih setengah juta ringgit.

Tertuduh, N. Prakash, 24, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Mohd. Harith Mohd. Mazlan selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menipu seorang wanita berusia 59 tahun dengan memperdaya untuk mempercayai bahawa dia boleh berubat penyakit dan menilik nasib hingga mendorong mangsa menyerahkan wang berjumlah RM516,450.

Kesalahan tersebut dilakukan antara 23 Mac hingga 18 Oktober lalu di No. 20 Lorong Perda Selatan 2, Bandar Perda, Bukit Mertajam di sini.

Sehubungan itu, dia didakwa telah melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara antara satu hingga 10 tahun selain disebat dan dikenakan denda.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Nadia Jamal manakala tertuduh diwakili peguam, R. Kumarappan.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan dua orang penjamin warga tempatan manakala pasport miliknya juga perlu diserahkan kepada mahkamah buat sementara waktu.

Pada masa sama, tertuduh diarahkan supaya melaporkan diri setiap Isnin, dua minggu sekali kepada pegawai penyiasat sehingga kes selesai.

Mahkamah turut menetapkan 31 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi tujuan penyerahan dokumen.

Sebelum ini, media melaporkan kejadian penculikan seorang tukang tilik oleh sekumpulan individu selepas terlibat dengan unsur penipuan sebelum diselamatkan sepasukan anggota polis dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Desa Aman, Padang Serai, Kulim, Kedah, 11 November lalu.

Ketika diselamatkan, lelaki tersebut dalam keadaan masih dirantai pada bahagian kaki serta mengalami luka-luka ringan sebelum dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Menurut polis, suspek yang menculik tukang tilik itu juga telah menghubungi keluarga lelaki terbabit dan meminta wang tebusan sebanyak RM700,000. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI