fbpx

Gempa bumi kuat gegar California, 2 maut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENDUDUK mengasingkan serpihan balkoni yang runtuh dari hadapan rumah mereka di Rio Dell, California akibat gempa bumi semalam. - Alexandra Hootnick/ The Chronicle

SACRAMENTO, CALIFORNIA – Gempa bumi berukuran 6.4 pada skala Richter menggegarkan utara California awal pagi semalam yang merosakkan bangunan dan jalan raya serta mengakibatkan 70,000 kediaman terputus bekalan elektrik, lapor akhbar The Guardian.

Dua kematian direkodkan semasa atau selepas kejadian tersebut, lapor pejabat syerif daerah Humboldt petang itu.

Berpusat di barat daya bandar Ferndale, daerah Humboldt, iaitu sebuah komuniti kecil yang terletak berhampiran pantai kira-kira 343 kilometer (km) di barat laut San Francisco, gempa itu berlaku di kawasan yang jarang berlaku gegaran.

Bagaimanapun, penduduk tempatan mendakwa gempa bumi itu adalah yang terbesar pernah mereka alami.

“Ia mungkin gempa bumi paling ganas yang kami rasai dalam tempoh 15 tahun sejak saya tinggal di sini,” kata seorang penduduk bandar Eureka, Dan Dixon.

Sejurus selepas pukul 2.30 pagi (waktu tempatan), telefon di seluruh kawasan itu berdering untuk memberi amaran kepada penduduk tentang bencana alam itu.

Beberapa saat kemudian, struktur konkrit dan paip kediaman pecah, manakala bingkai gambar tercampak dari dinding akibat gegaran.

Sistem amaran negeri itu menghantar pesanan kepada kira-kira tiga juta orang dengan memberi mereka peluang sekurang-kurangnya 10 saat untuk berlindung, demikian menurut pejabat perkhidmatan kecemasan gabenor California (Cal OES). 

Gegaran itu boleh dirasai di seluruh pantai barat, dari selatan San Jose, California ke Oregon hingga ke utara, demikian menurut tinjauan yang dikumpul oleh Kajian Geologi Amerika Syarikat.

Terdapat 80 gegaran susulan kuat yang turut menggegarkan wilayah itu berikutan gempa bumi tersebut, dengan beberapa daripadanya berkekuatan 4.6 pada skala Richter, lapor Cal OES.

Sebelas orang dilaporkan cedera dan pengarah Cal OES, Mark Ghilarducci berkata bahawa pegawainya masih menilai jumlah kecederaan. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI