fbpx

Kapten Chester letak jawatan CEO CAAM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kapten Chester Voo

PUTRAJAYA- Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Datuk Kapten Chester Voo dilaporkan memohon untuk memendekkan tempoh perkhidmatannya daripada jawatan itu pada Oktober 2022.

Menurut Pengerusi CAAM, Tan Sri Mohd. Khairul Adib Abdul Rahman, anggota pihak berkuasa memahami dan menghormati sepenuhnya permintaan yang dibuat Kapten Chester.

“Bagaimanapun, selepas membuat pertimbangan sewajarnya, anggota pihak berkuasa memohon agar peletakan jawatan beliau ditangguhkan sehingga ke 31 Disember 2022.

“Penangguhan tersebut bagi membolehkan CAAM melaksanakan proses peralihan dan penyerahan tugas kepada pengganti jawatan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.

Katanya, perkara itu dipersetujui oleh Kapten Chester dan beliau serta pihak pengurusan CAAM telah menyediakan pelan strategik 2023 yang lengkap bagi memastikan proses kesinambungan yang positif.

“Kapten Chester telah mengemukakan surat peletakan jawatannya dan telah diterima oleh Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook di mana hari terakhir perkhidmatan beliau adalah pada 31 Disember 2022.

“Sejak pelantikan beliau sebagai CEO pada Jun 2020, Kapten Chester telah memberikan komitmen yang tinggi dalam kepimpinan yang berkesan kepada pengurusan CAAM,” jelasnya.

Katanya, CAAM telah mencapai pelbagai kejayaan yang telah membawa agensi itu dikenali sebagai badan kawal selia keselamatan dan sekuriti industri penerbangan serta penyedia perkhidmatan navigasi udara yang mampan sejak dipimpin Kapten Chester.

“Anggota Pihak Berkuasa akan meneruskan momentum yang telah membantu beberapa kejayaan dikecapi oleh CAAM di bawah kepimpinan Kapten Chester termasuklah mengembalikan semula status Kategori 1 bagi Penarafan Keselamatan Penerbangan Antarabangsa (IASA) oleh Federal Aviation Administration (FAA) Amerika Syarikat.

“Beberapa inisiatif dan usaha lain juga diteruskan untuk memastikan peranan CAAM sebagai badan kawal selia industri penerbangan awam negara dikekalkan dan selaras dengan keperluan antarabangsa,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI