fbpx

[VIDEO] Fun fair di Puncak Alam rupanya tak berlesen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rahilah (tudung merah) meninjau permainan 'Sotong Ride' fun fair  di Bandar Puncak Alam, Kuala Selangor, Selangor. FOTO: SADDAM YUSOF

KUALA SELANGOR – Pengusaha ‘fun fair’ yang mengakibatkan tiga cedera di Bandar Puncak Alam di sini, malam tadi dikesan beroperasi tanpa lesen.

Malah, pengusaha tersebut juga didapati terus berdegil menjalankan perniagaannya biarpun arahan sitaan telah dikeluarkan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) sebelum ini.

Yang Dipertua MPKS, Rahilah Rahmat berkata, pihaknya telah menjalankan sitaan itu pada 29 November lalu selepas permit operasi tidak diluluskan.

Katanya, pesta ria itu beroperasi secara haram kerana tidak mendapat kebenaran pihaknya selain polis dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP).

“Pengusaha itu memang ada membuat permohonan permit dengan MPKS, namun kita tidak meluluskannya dan menyitanya.

“Namun, pihak berkenaan masih degil untuk beroperasi bermula 10 Disember lalu (Sabtu) sehingga menyebabkan berlaku insiden malang tersebut,” katanya ketika ditemui selepas meninjau tapak fun fair itu,  hari ini.

Turut hadir, beberapa pegawai JKKP Selangor dan pengusaha pesta ria tersebut.

Tinjauan Kosmo! mendapati seluruh kawasan itu sudah ditutup sepenuhnya dan diletakkan pita sitaaan MPKS.

Jelas Rahilah, pihaknya turut menyerahkan notis kompaun kepada pengusaha fun fair itu mengikut Seksyen 6 (1) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan Negeri Selangor 1995.

Kesalahan itu memperuntukkan denda maksimum RM25,000 atau penjara sehingga tiga tahun, jika sabit kesalahan.

“Pesta ria itu turut diarahkan tutup dan tidak boleh beroperasi sepenuhnya,” ujarnya.

Tegas beliau, pengusaha itu hanya mendapat kebenaran daripada pemilik tapak atau tanah, namun bukannya MPKS.

“Justeru, kita menasihatkan semua pihak mematuhi arahan ditetapkan dan tidak beroperasi tanpa permit sah seumpama itu.

“Insiden malang itu dapat dielak sekiranya arahan berkenaan dipatuhi sejak awal ketika sitaan dilakukan,” katanya.

Kosmo! Online terdahulu melaporkan suasana di sebuah pesta ria atau ‘fun fair’ di Bandar Puncak Alam di sini, gempar apabila tiga individu termasuk kanak-kanak cedera selepas terjatuh daripada satu permainan, malam tadi. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI