fbpx

MPKB-BRI tangguh hukuman kunci tayar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kereta jenis Perodua Myvi milik Nursyafawati yang dikunci tayar di Jalan Sultan Yahya Petra, Kota Bharu selepas mempunyai tunggakan kompaun tiga tahun lalu.

KOTA BHARU – Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) menangguhkan hukuman kunci tayar kereta mengikut Perintah 17, Perintah Pengangkutan Jalan (Letak Kereta Bermeter) 2000 berkuat kuasa hari ini.

Yang Dipertua MPKB-BRI, Rosnazli Amin berkata, penangguhan itu susulan daripada keputusan Mahkamah Rayuan hari ini yang memutuskan undang-undang mengunci tayar oleh pihaknya tidak sah.

Menurutnya, sehubungan itu, MPKB-BRI akur dan menghormati keputusan Mahkamah Rayuan.

“Berkuat kuasa 8 Disember 2022 (hari ini), tindakan kunci tayar di bawah Perintah 17 Perintah Pengangkutan Jalan (Letak Kereta Bermeter) 2000 akan ditangguhkan sehingga ke satu tarikh yang diberitahu kelak.

“Kita telah mengarahkan peguam Tetuan Shaharuddin Hidayu & Marwaliz yang mewakili MPKB-BRI untuk memohon alasan penghakiman penuh berkaitan dengan keputusan kes tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Rosnazli, tindakan itu dilakukan sebelum membuat keputusan sama ada untuk memohon kebenaran merayu di Mahkamah Persekutuan atau sebaliknya.

Kosmo! Online hari ini melaporkan, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa undang-undang kunci tayar dikuat kuasa MPKB-BRI adalah tidak sah kerana bertentangan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).

Tiga panel Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Hashim Hamzah, Datuk Abdul Karim Jalil dan Hakim Datuk Supang Lian sebulat suara mendapati undang-undang itu bertentangan (ultra-vires) dengan akta tersebut.

Dengan keputusan itu, pihak MPKB-BRI tidak boleh mengunci tayar kereta yang diletakkan di dalam petak letak kereta dan hanya boleh mengenakan kompaun sahaja.

Keputusan itu diputuskan berdasarkan kes yang difailkan oleh seorang kerani, Nursyafawati Kasim,33, selepas kereta jenis Perodua Myvi miliknya dikunci tayar di Jalan Sultan Yahya Petra di sini tiga tahun lalu.

Tindakan kunci tayar oleh penguat kuasa MPKB-BRI itu dijalankan selepas mendapati wanita itu meletakkan kereta dengan tidak membayar caj ditetapkan selain mempunyai tunggakan kompaun.

Nursyafawati diwakili oleh peguam Hisham Fauzi, Ang Khai Wei, Majdah Muhammad dan Haziratul Aqilah Huzailing. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI